Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail tidak membangunkan Jelai, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau sendiri.

"Jelai ni kawasan MB Pahang. Sudah tentu MB akan jaga kawasan ini. 

"Kenapa MB tak bangunkan kawasan Jelai, Cameron Highlands dan (Felda Sungai) Koyan?” soalnya.

Lim yang juga menteri kewangan juga mengharapkan supaya kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dapat bekerjasama untuk membangunkan kawasan di Parlimen Cameron Highlands.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Pembangunan Bersama PH di bilik gerakan di Felda Sungai Koyan 3 hari ini.

Sementara itu, ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang turut hadir dalam pelancaran itu berkata PH ingin menyampaikan mesej kepada pengundi bahawa kempen mereka berbeza.

"Dalam tinjauan saya di bawah (turun padang) bahawa di bawah kita PH sama macam Pakatan dulu. Kita tak gunakan stesen media dan radio untuk berkempen. Saya harap pengundi nampak perbezaannya.

"Kita ada sesuatu untuk ditawarkan calon kita wakili calon PH - pemerintah maksudnya ada peluang warga pengundi Cameron Highlands ini beliau (calon PH M Manogaran) berpeluang jumpa dengan semua kementerian-kementerian mohon kementerian-kementerian lihat pembangunan di Jelai dan (parlimen) Cameron Highlands," katanya.

PH meletakkan calon dari DAP bertanding di kerusi ini iaitu M Manogaran dengan pertembungan empat penjuru antara calon BN dan dua dari bebas.