Suami mati dalam tahanan: Wanita hamil lapor polis
Seorang wanita hamil membuat laporan polis mengenai kematian suaminya ketika dalam tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Mangsa 31 tahun, M Thinagaran, seorang nelayan, ditangkap pada 9 Januari lalu oleh pegawai agensi ketika menangkap ikan di Tanjung Gurung, Sepang dan ditahan selama tujuh hari.
Dia didapati meninggal dunia pada 13 Januari - dikatakan menggantung diri - di dalam lokap agensi tersebut di Pelabuhan Klang semasa dalam tahanan reman.
Keluarga itu, bagaimanapun, mengesyaki ada yang tidak kena kerana Thinagaran mengadu dipukul selepas penangkapannya. Mereka juga mendakwa kali terakhir pihak keluarga bercakap kepadanya, dia tidak kelihatan cukup tertekan untuk mengambil nyawa sendiri.
Isterinya, R Tenaswari, 25, membuat laporan polis di balai polis Bandar Sultan Suleiman di Klang hari ini.
Dalam laporan yang dilihat oleh Malaysiakini, Tenaswari, yang hamil empat bulan anak ketiga mereka, berkata bahawa bapa dan bapa saudara Thinagaran bertemu dengan tahanan sehari selepas dia ditangkap.
Mengadu, dakwa dipukul
Dia kemudian mengadu kepada mereka, mendakwa dirinya dipukul selepas penangkapannya oleh kira-kira tujuh pegawai APMM pada kira-kira pukul 7.30 pagi pada 9 Januari lalu.
Pada 13 Januari 2019 jam lebih kurang 5.30 petang, beberapa pegawai maritim dan pegawai penyiasat maritim tersebut telah datang ke rumah saya dan memberitahu suami saya telah meninggal dalam lokap maritim dengan menggantung diri.
"Kami sekeluarga sangat terkejut... Saya berasa sangat mustahil dan mengesyaki sama ada suami saya benar-benar menggantung diri memandangkan suami saya berada dalam keadaan emosi yang baik dan stabil apabila ayah suami saya menjumpainya (pada hari selepas tangkapan).
"Saya sekarang mahu menuntut keadilan ke atas kematian suami saya. Saya mahu polis menyiasat kes ini secara terperinci dan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebabkan kematian suami saya," kata Tenaswari dalam laporan polisnya.
Dua anak pasangan itu kini berusia tiga dan dua tahun.
Menurut laporan Harian Metro awal minggu ini, Thinagaran ditahan bersama suspek lain dan didapati memiliki 23 kilogram dadah, dipercayai jenis methamphetamine, dalam botnya.
Mereka ditangkap oleh pegawai APMM selepas mengejar bot itu selama 15 minit, petik laporan itu.
Sementara itu, peguam M Manoharan, yang mengiringi keluarga untuk membuat laporan polis, menggesa peguam negara menubuhkan inkues terhadap kematian Thinagaran.
Keluarga itu juga akan memulakan saman sivil terhadap APMM berhubung kejadian itu, tidak lama lagi, katanya kepada Malaysiakini.
Serah pada polis
Dalam suatu kenyataan berasingan, APMM maklum kes kematian suspek dan menyerahkan kes kematian suspek sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
"APMM telah membuat laporan polis berhubung kejadian seorang suspek Thinagaran a/l Mathavan menggantung diri sampai mati.
"Maritim Malaysia menyerahkan kes kematian suspek sepenuhnya kepada PDRM untuk siasatan lanjut memandangkan laporan polis bersabit kes itu telah pun dibuat.
"Oleh itu, agensi ini tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan dan ulasan berkaitan kes berkenaan bagi mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan siasatan polis," kata kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

