Seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui mati, dipercayai membunuh diri selepas menyerang pasangan suami isteri di rumah mereka, di Taman Kiara Mas 2, di Kluang, Johor hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata pihaknya telah menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita berumur 41 tahun pada jam 10.30 pagi tadi yang melaporkan dia dan suaminya, 47, dicederakan oleh seorang lelaki.
Katanya, pasangan berkenaan mengenali lelaki yang bekerja di sebuah institusi kewangan di daerah itu, dan menganggap lelaki tersebut sebagai adik angkat mereka.
“Lelaki berkenaan dikatakan sering ke kediaman mereka (pasangan suami isteri) untuk merawat wanita berkenaan yang dikatakan mengalami penyakit misteri.
“Namun pada pagi tadi, setelah ketiga-tiga mereka masuk ke dalam sebuah bilik di rumah itu, dengan tiba-tiba sahaja lelaki berkenaan seperti dirasuk dan mencederakan suami mangsa dengan menggunakan sebilah parang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Abduh berkata wanita terbabit yang cuba meleraikan pergelutan itu turut dicederakan.
Beliau berkata sebaik pegawai dan anggota polis tiba di rumah itu, lelaki berkenaan masih berada di dalam bilik dan walaupun dipanggil mereka tidak mendengar sebarang tindak balas.
Katanya, selepas pintu bilik dipecahkan polis, lelaki terbabit ditemui terlentang dan didapati sudah meninggal dunia dan pemeriksaan lanjut polis mempercayai lelaki itu membunuh dirinya berdasarkan tikaman di perut dan dada.
“Polis menemui sebilah keris panjang di belakang badan lelaki itu dan bedah siasat akan dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematiannya.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 kerana cubaan bunuh dan 309 Kanun Keseksaan kerana cuba bunuh diri. Polis melakukan semakan rekod lampau terhadap lelaki terbabit, wanita itu dan suaminya yang merupakan pesara tentera, namun, mendapati ketiga-tiganya tiada rekod jenayah,” katanya.
-Bernama
