Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘SPR ketika ini boleh dipertikaikan’
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 11:59 AM
Dikemaskini: 4:08 AM

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa mempertikaikan sama ada kewujudan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, suruhanjaya itu ketika ini hanya dikendalikan oleh seorang individu iaitu pengerusinya, Azhar Azizan Harun. Ini selepas timbalan pengerusi dan lima anggota pesuruhjaya lain meletak jawatan pada 31 Disember tahun lalu.

Menurutnya, di bawah Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan 5 orang anggota lain.

Beliau berkata, SPR menurut Perlembagaan tidak boleh wujud jika hanya mempunyai komposisi hanya dengan seorang Pengerusi.

“Mana mungkin suruhanjaya ini berfungsi dengan hanya seorang ahli sedangkan perlembagaan dengan jelas dan secara wajib atau ‘shall’ mesti terdiri dari tujuh orang,” Annuar dalam satu sidang akhbar di Tanah Rata hari ini.

Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, menyatakan SPR hendaklah terdiri daripada pengerusi, timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain. Mereka ini hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas rundingan dengan Majlis Raja-Raja Melayu.

Annuar berkata beliau membangkitkan isu ini memandangkan SPR hari ini mengeluarkan writ pilihan raya untuk kerusi DUN Semenyih.

Kerusi DUN Semenyih kosong susulan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) , Bakhtiar Mohd Nor akibat serangan jantung, pada 11 Januari lalu.

Walaupun Annuar mempersoalkan sama ada tindakan SPR adalah selaras dengan perlembagaan, beliau tidak mengatakan bahawa apa yang dilakukan suruhanjaya itu adalah menyalahi undang-undang.

“Perkataan ‘hendaklah’ di dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa ia adalah keperluan mandatori.

“Justeru, segala tindakan yang dibuat di bawah nama SPR pada ketika ini boleh dipertikaikan dan adalah tidak berperlembagaan dan dikhuatiri ia akan terbatal jika dicabar,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS