Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krisis Bersatu Perlis selesai - SU agung
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 5:10 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Krisis kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis sudah diselesaikan, kata Setiausaha Agung parti Marzuki Yahya.

Tanpa mengulas lanjut, beliau berkata yang tinggal sekarang ialah penstrukturan semula barisan kepimpinan parti di negeri utara Semenanjung itu.

“Saya akan ke Perlis pada penghujung bulan ini dan akan memberi nasihat yang sewajarnya. Isu telah selesai, cuma dalaman perlu distruktur semula dan seterusnya mengorak langkah ke depan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar ditanya perkembangan terkini berhubung isu itu yang bermula apabila Setiausaha Bersatu Perlis Wan Saiful Wan Jan digugurkan daripada barisan kepimpinan negeri yang didakwa dibuat atas alasan kesihatan.

Bagaimanapun Wan Saiful mendakwa beliau digugurkan atas sebab lain yang melibatkan integriti barisan kepimpinan Bersatu Perlis.

Bersatu pusat membuat keputusan pantas mengambil alih pengurusan di Perlis sehingga masalah itu diselesaikan.

Timbalan Presiden parti Mukhriz Dr Mahathir dilaporkan berkata kenyataan Wan Saiful yang beliau digugurkan kerana krisis integriti kepimpinan Bersatu Perlis perlu diberi perhatian serius berikutan satu laporan polis turut dibuat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS