Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Presiden PKR, Anwar Ibrahim enggan mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai perbicaraan kes liwatnya.

Sebaliknya, Anwar berkata ada perkara yang lebih besar di negara ini harus diberi keutamaan.

"Saya tidak akan layan soalan (daripada media), termasuk Malaysiakini, The Malaysian Insight, atau The Star atau sesiapa sahaja yang cuba membuat pertukaran dengan Mahathir.

"Kami telah pun membuat keputusan untuk bekerjasama dan saya akan mempertahankannya, malah tidak akan diprovokasi," katanya pada majlis pelancaran pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dan pemasyhuran nama Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menyatakan sokongan terhadap tindakan Malaysia mengharamkan penganjuran temasya sukan yang melibatkan atlet Israel.

“Ini adalah salah satu cara untuk memberikan mesej mengenai pendirian kita yang tidak bersetuju dengan keganasan Israel terhadap Palestin, kerana mereka sendiri tidak mengendahkan sebarang tekanan daripada mana-mana pihak. Ini adalah satu keputusan yang tepat daripada kerajaan,” katanya.

Dalam soal hubungan antara Malaysia dan Singapura, Anwar berharap kepentingan negara dapat terus dikekalkan selepas negara dituduh menceroboh perairan Singapura.

“Kerajaan memang mahukan hubungan yang kukuh dengan Singapura meskipun berdepan beberapa isu yang masih belum dapat diselesaikan.

“Tetapi kita kena ingat, ada beberapa kepentingan negara tidak dilindungi sepenuhnya pada masa lalu dan kerajaan harus pastikan kepentingan itu terus dipertahankan,” katanya.

Mengenai tindakan Putrajaya menyaman kerajaan Kelantan atas dakwaan meminggirkan Orang Asli Temiar, Anwar menganggap kerajaan perlu mengambil tindakan tegas, tetapi bersesuaian dengan keadaan.

“Orang Asli di sana berada dalam keadaan daif dan kerajaan mesti perlu ada perancangan jelas untuk mereka, tetapi saya anggap sebarang program untuk Orang Asli ketika ini tidak harus diumumkan ketika kempen pilihan raya, sebaliknya dibuat sebaik sahaja pilihan raya berakhir,” kata beliau.

Mengenai isu sesetengah pihak dalam PKR yang menghentam kepimpinannya sebagai presiden, Anwar mengambil sikap lebih terbuka.

“PKR ada biro disiplin, tetapi saya mengambil sikap lebih lunak. Kalau nak hentam, hentamlah, walaupun begitu saya sentiasa berharap jawatankuasa disiplin dapat berfungsi lebih baik, tetapi apa yang diperkatakan terhadap saya, saya tidak ambil pusing,” katanya.

Lihat Komen
ADS