BN ada peluang di Semenyih kalau letak orang muda
PRK SEMENYIH | Pemuda Umno Selangor yakin BN mampu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih daripada PH pada pilihan raya kecil akan datang.
Ketuanya, Rizam Ismail, berkata peluang untuk menambah anggota pembangkang dalam DUN Selangor boleh dicapai, tetapi ia banyak bergantung kepada ketepatan memilih calon.
"Saya nampak BN mempunyai harapan cerah untuk merampas kembali kerusi berkenaan.
"(Bagaimanapun) calon memainkan peranan penting, untuk itu BN perlu meletakkan muka baru daripadakalangan anak muda untuk membawa cabaran di Semenyih," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Rizam menambah calon terbaik untuk menggalas cabaran BN di Semenyih ialah anak muda tempatan yang diterima pengundi di kawasan terbabit..
Suruhanjaya Piihan Raya (SPR) pada 18 Jan lalu menetapkan PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac 2019.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata penamaan calon pula akan diadakan pada 16 Febuari manakala hari mengundi awal pada 26 Februari.
Bagi tujuan itu tempoh berkempen yang ditetapkan selama 14 hari, bermula dari hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam 1 Mac 2019.
Azhar berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK tersebut adalah sehingga suku ketiga 2018 yang mengandungi 54,503 pemilih berdaftar terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara.
PRK Semenyih diadakan ekoran kematian Adun kawasan itu, Bakhtiar Mohd Nor, akibat serangan jantung, pada 11 Januari lalu.
Bakhtiar daripada Bersatu menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi berkenaan, Johan Abd Aziz, daripada BN pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.
Bakhtiar yang juga Ketua ersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.
Sementara itu Rizam berkata, kemenangan BN pada PRK DUN Semenyih penting bagi memperkukuhkan kedudukan pembangkang di Selangor.
Peluang itu dilihat lebih cerah lagi apabila PAS membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon dan memberi laluan kepada BN.
"Kemenangan kerusi DUN Semenyih penting bagi pembangkang untuk memperkukuhkan kedudukan di DUN untuk tujuan semak dan imbang," katanya.

