Terjemahan Penerbangan Malaysia (MAS) akhirnya membuka mulut untuk menolak dakwaan ia menggunakan bekas perisik Israel sebagai perundinganya.

Setelah sebulan dakwaan itu dibuat oleh tokoh politik pembangkang, Azmin Ali, MAS di dalam kenyataan lima perenggannya menyatakan adalah menjadi amalan syarikat itu menyiasat terlebih butir-butir peribadi semua individu yang hendak diambil berkerja di syarikat itu.

"Sehingga ini, kami tidak mempunyai mana-mana kakitangan yang mempunyai latar belakang seperti yang didakwa termasuk mereka yang berkhidmat di projek-projek MAS atau dibawa masuk oleh firma perunding,"katanya tanpa merujuk kepada mana-mana nama.

MAS juga menafikan ia telah mengambil kakitangan yang mempunyai latar belakang yang mencurigakan.

"Jika diketahui pada bila-bila masapun firma perunding mempunyai atau menggunkaan pekerja yang tidak sesuai dengan kepentingan syarikat dan negara, kami akan menamatkan khidmat mereka," tambah kenyataan tersebut.

Kenyataan bertarikh 18 Januari itu dihantar kepada malaysiakini pada hujung minggu lalu. Sebelum ini MAS telah berulang kali memberitahu malaysiakini ia tidak akan membuat apa-apa ulasan mengenai perkara tersebut.

Pada 24 Disember lalu Azmin yang merupakan Naib-Presiden Parti Keadilan Rakyat mendakwa MAS telah mengambil seorang bekas perisik Israel sebagai perundingnya. Perunding itu dikenali sebagai Ron Chernin, berusia 41 tahun.

Azmin telah mengemukakan dokumen untuk menyokong dakwaannya termasuk permohonan pas lawatan Chernin bertarikh 6 Disember 2005. Menurut dokumen tersebut, permohonan Chernin disokong oleh

Penolong Pengurus Besar bahagian Teknologi Maklumat MAS, Faridah Abdul Rahman.

Di dalam dokumen tersbut dinyatakan Chernin seorang warganegara Perancis yang dilahirkan di Haifa, Israel. Butir-butir peribadinya menyatakan dia pernah berkerja sebagai leftenan dalam bahagian perisikan tentera Israel antara tahun 1983 hingga 1988.

Azmin juga menunjukkan dokumen menunjukkan MAS membayar gaji bulanan yang terlalu tinggi kepada beberapa orang perundingnya. Ini termasuk gaji RM4,400 sehari untuk seorang perunding Australia atau kira-kira RM100,000 sebulan untuk kontrak setahun.

Menyentuh dakwaan Azmin itu, MAS menjelaskan mereka diambil di bawah kontrak jangka pendek dan hanya untuk projek-projek tertentu yang berkaitan dengan penyusunan semula syarikat.

Sementara itu Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Chia Kwang Chye ketika ditemui malaysiakini berkata, Azmin sepatutnya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan. Berita asal