Rakyat M'sia didakwa mangsa serangan kaum di AS meninggal
Seorang rakyat Malaysia yang tidak sedarkan diri selepas didakwa menjadi mangsa serangan perkauman di New York, Amerika Syarikat telah meninggal dunia.
Wisma Putra mengesahkan Ng Tan Keong, berusia 60 tahun menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 4 pagi, 18 Januari 2019, menurut The Star Online.
"Pihak berkuasa juga telah menghubungi waris terdekat korban si mati yang berkata pihak keluarga akan melakukan persiapan yang diperlukan bagi membawa pulang mayat kembali ke negara," petik laporan itu.
Ng, anak kelahiran Johor menjalankan perniagaan restoran di New York.
Pada 15 Januari lalu, seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai Arthur Martunovich telah menyerang restoran itu dengan tukul dan mengakibatkan kecederaan parah terhadap tiga orang, termasuk Ng.
Ng merupakan mangsa kedua yang meninggal dalam serangan tersebut. Chef Fufai Pun, berusia 34 tahun meninggal dunia sejurus selepas serangan, manakala pengurus restoran Rsz Mat Pun, 50 berada dalam keadaan kritikal.
Pihak berkuasa New York berkata Martunovich "ada masalah dengan lelaki Asia."

