Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta Hasutan perlu kekal - Bekas pegawai Mageran
Diterbitkan:  Jan 20, 2019 10:57 PM
Dikemaskini: 2:57 PM

Akta Hasutan 1948 ialah satu undang-undang luar biasa yang harus dikekalkan kerana kemampuannya dalam mempertahankan keselamatan negara, kata pakar perundangan Abdul Aziz Abdul Rahman.

Menyarankan demikian, beliau berkata sebarang tindakan untuk meminda atau memansuhkan Akta Hasutan akan mempunyai implikasi besar terhadap keselamatan negara.

Malah, undang-undang itu tidak boleh dimansuh atau dipinda sewenang-wenangnya tanpa mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja, kata beliau.

Abdul Aziz, 85, merupakan bekas pegawai perundangan Mageran (Majlis Gerakan Negara) dan satu-satunya pegawai yang masih hidup dan terlibat dalam membuat draf pindaan terhadap Akta Hasutan itu.

Berikutan pindaan itu, akta tersebut tidak boleh dibatal, dipinda melainkan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja dan sokongan majoriti dua pertiga ahli parlimen, katanya kepada wartawan ketika ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur hari ini bagi memperjelas keperluan akta itu dikekalkan.

Menjelas lanjut beliau berkata, berikutan rusuhan berdarah 13 Mei 1969, Mageran yang ditubuhkan sebagai kerajaan darurat telah meminda Akta Hasutan 1948 bersama-sama Perlembagaan Persekutuan dengan menambah Fasal 4 kepada Perkara 10.

Perkara 10 (4) itu menyekat kebebasan bersuara masyarakat terhadap empat perkara yang dianggap sensitif iaitu bahasa kebangsaan, hak istimewa Bumiputera, hak warganegara Malaysia dan kedaulatan dan kuasa Raja-Raja Melayu.

Tiada huru-hara perkauman

Katanya, pindaan juga dibuat pada Perkara 159 (3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan supaya sokongan majoriti dua pertiga Parlimen diperlukan untuk meluluskan sebarang pindaan dan pembatalan terhadap Akta Hasutan, manakala satu klausa tambahan iaitu fasal 5 dimasukkan.

Fasal 5 Perkara 159 menyatakan bahawa sesuatu pindaan terhadap Perkara 10 (4) termasuk Perkara 152 (kedudukan Bahasa Melayu), Perkara 153 (kedudukan istimewa Bumiputera), hak warganegara Malaysia tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Saya berani kata, kerana adanya Akta Hasutan, kita tidak ada huru-hara perkauman. Ia satu akta yang luar biasa,” katanya.

Malah jelas beliau, sebarang tindakan dan cadangan untuk menghapuskan akta itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata kerajaan berhak untuk meminda, memansuh atau memperkenal mana-mana akta yang dirasakan perlu dan bersesuaian di negara ini.

"Tidak perlu minta kebenaran daripada mana-mana pihak… tapi dalam proses demokrasi bolehlah kerajaan dengar suara dan semua pihak yang berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Enam akta dalam kajian

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan membuat kajian secara terperinci terlebih dahulu dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak mengenai cadangan meminda Akta Hasutan 1948 sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

"… dan dalam proses sedemikian, pihak kerajaan secara protokol bolehlah minta perkenan Majlis Raja-Raja kerana pindaan itu akan melibatkan hak-hak perundangan Raja-Raja," katanya.

Pada Isnin lepas, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata Akta Hasutan ialah antara enam akta dalam kajian sama ada perlu dipinda atau dimansuhkan.

Penggunaan Akta Hasutan pernah digantung sementara pada Oktober lepas, namun ia kemudian dihidupkan semula pada Disember tahun lepas.

Akta itu digunakan buat pertama kalinya pada tahun 1948 oleh penjajah British bertujuan menyekat sebarang tindakan dan ucapan bersifat hasutan yang boleh membangkitkan tentangan orang tempatan terhadap penjajah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS