'Hasil kutipan cukai 2018 tinggi, bukan sebab BN' - Lim
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menolak dakwaan Presiden MCA Wee Ka Siong bahawa beliau cuba meraih penghargaan untuk menaikkan namanya atas pencapaian kerajaan terdahulu.
Ini selepas Lim menyatakan rekod kutipan tertinggi hasil cukai langsung pada 2018 berpunca daripada strategi pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Lim tidak menamakan Wee tetapi berkata mengambil maklum terhadap dakwaan yang mempertikaikan peranan PH dalam rekod kutipan tertinggi sebanyak RM137.035 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2018.
Menurut Wee kutipan cukai biasanya berdasarkan angka pada tahun sebelumnya, bermaksud angka pada 2018 berasaskan hasil yang dijana pada 2017, ketika BN masih berkuasa.
Bagaimanapun, dalam suatu kenyataan hari ini, Lim berkata negara telah menggunakan kiraan tahun semasa dalam sistem penilaian cukai sejak tahun 2000 lagi.
Ekonomi tahun yang sama
"Oleh itu, peningkatan kutipan sebanyak 11.13 peratus atau RM13.72 bilion pada tahun lalu merupakan pencapaian daripada kutipan pada tahun 2018 berdasarkan taksiran dan perkembangan ekonomi yang berlaku pada tahun yang sama.
"Ia bukanlah berdasarkan taksiran ekonomi pada tahun 2017 seperti dakwaan sesetengah pihak, sebaliknya ia mencerminkan pengukuhan dan perkembangan ekonomi dan juga pengenalan tadbir urus kerajaan yang bersih berasaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT)," jelas menteri.
Lim berkata mengenai hasil yang dijana daripada kutipa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pihak Kastam Diraja Malaysia telah mengutip RM5.4 bilion dari tempoh masa 1 September 2018 sehingga penghujung tahun lalu, 34 peratus lebih tinggi daripada jangkaan awal.
"Peningkatan ini adalah kerana usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan khususnya dalam memberi kefahaman kepada peniaga melalui program engagement yang diadakan di seluruh negara," katanya lagi.

