Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Edar makanan percuma Thaipusam bukan kesalahan p'raya - Manogaran
Diterbitkan:  Jan 21, 2019 5:03 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

PRK CAMERON | Memberi makanan percuma atau 'annadhanam' semasa sambutan Thaipusam adalah suatu tradisi dan ia tiada kena mengena dengan kempen pilihan raya, jelas calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands M Manogaran.

Beliau berkata pek makanan yang disediakan PH di dalam reruai tepi jalan di luar kuil itu diagih-agihkan kepada sesiapa sahaja yang lalu di situ dan tidak disasarkan semata-mata kepada pengundi.

"Ini untuk orang ramai. Ini untuk pelancong yang lalu-lalang, kami tidak camkan sesiapa pun (pengundi)," katanya selepas bersembahyang di Kuil Sri Subramanier bersempena sambutan Thaipusam, di Ringlet, dekat Tanah Rata hari ini.

Beliau ditanya sama ada amalan itu boleh dianggap sebagai ‘menjamu’, yang merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Mengulas lanjut, Manogaran yang juga peguam, menjelaskan bahawa menjamu adalah apabila perbuatan memberi makan itu disasarkan kepada pengundi,

Hidangan bufet

"Ini bukanlah menjamu. Menjamu adalah bila anda kenal pasti pengundi tertentu. Ini tradisi kami, tiada kena mengena (dengan pilihan raya) sebab ia berkaitan dengan perayaan kami,” katanya.

Selain PH, Barisan Nasional (BN) juga dilihat memberi makanan percuma di tempat mereka, yang dihidangkan secara bufet.

Sementara itu, mengenai dakwaan penyalahgunaan kenderaan kerajaan milik Jabatan Perhutanan Raub oleh jentera kempen PH di sebuah kawasan penempatan Orang Asli semalam, beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

"Mana-mana pihak pun tak boleh gunakan apa-apa jentera kerajaan di PRK atau mana-mana pilihan raya," katanya.

Hari ini, Pengerusi Keadilan Negeri Pahang Fuziah Salleh menafikan dakwaan beliau menggunakan kenderaan itu, dan berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab membuat dakwaan tidak berasas itu.

Dalam PRK empat penjuru 26 Januari ini, Manogaran berdepan saingan daripada bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor, 61, mewakili BN, dan dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib, 61, bekas pensyarah kanan di Institut Aminudin Baki serta Wong Seng Yee, 40, seorang petani.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November tahun lepas membatalkan kemenangan calon BN, C Sivarraajh, pada Pilihan Raya Umum ke-14 selepas didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS