Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Langkah bawa Bersatu ke Sabah diteruskan
Diterbitkan:  Jan 22, 2019 10:03 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Sebuah parti tempatan di Sabah kini giat berkempen agar Bersatu melebarkan sayap di negeri itu, walaupun parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu sebelum ini memberikan komitmen untuk tidak berbuat demikian.

Menurut The Malaysian Insight, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) Lajim Ukim mengaku mengedarkan borang keahlian dan berkempen mencari ahli pada awal bulan ini.

Lajim berkata beliau mahu menunjukkan kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad bahawa partinya mempunyai sokongan kuat di negeri itu.

"Tiada siapa berhak menghentikan atau menyekat Bersatu daripada masuk ke Sabah melainkan mereka bimbang kerana Malaysia ini sebuah negara demokrasi,” kata bekas pemimpin PKR itu seperti dipetik.

Lajim yang pernah menjadi timbalan menteri ketika bersama Umno dilaporkan berkata setakat ini, 64,000 borang keahlian Bersatu telah diedarkan di 24 bahagian parlimen di sana.

Beberapa ratus borang lagi diperuntukkan kepada ahli politik daripada parti lain - dengan pengecualian terhadap Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Warisan, dan parti komponen PH - yang mahu menyertai Bersatu, katanya lagi.

Sementara itu, The Malaysian Insight turut melaporkan sekumpulan bekas pemimpin Umno diketuai Hajiji Mohd Noor, bekas pengerusi badan perhubungan Umno negeri itu, dijangka mengumumkan langkah seterusnya pada Februari atau Mac ini.

Memetik sumber, laporan itu mendakwa Hajiji, Lajim dan sekumpulan lagi bekas ahli politik Umno telah berbincang soal kerja sama, antaranya kemungkinan Hajiji mengetuai Bersatu Sabah dan Lajim sebahagian daripada kepimpinannya.

Pada 12 Disember lalu, Hajiji mengetuai lima anggota parlimen, sembilan adun dan 21 ketua bahagian untuk keluar daripada Umno.

Lihat Komen
ADS