Paling Popular
Terkini
story images
story images

PRK SEMENYIH l Bekas calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) DUN Semenyih Johan Abd Aziz mengumumkan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu 2 Mac ini.

Ketua Bahagian Umno Hulu Langat itu berkata, tindakan itu bagi memberi laluan kepada calon muka baru untuk bertanding.

“Bila seseorang pegang jawatan dalam parti, dia mesti ada hasrat (untuk bertanding). Jadi kalau saya tidak beri peluang (kepada orang lain), takkanlah asyik ‘jeneral’ sahaja (nak bertanding).

“Baik siapa pun calon, saya pengarah jentera. Ini sudah diputuskan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Umno Selangor, di Shah Alam hari ini.

Antara yang hadir pada sidang media itu Pengerusi Umno Selangor Ismail Yakob dan Pesuruhjaya PAS Sallehen Mukhyi.

PRK Semenyih diadakan ekoran kematian Adun kawasan itu, Bakhtiar Mohd Nor, akibat serangan jantung, pada 11 Januari lalu.

 

Bakhtiar daripada Bersatu menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi berkenaan, Johan daripada BN pada PRU14 Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Bakhtiar yang juga Ketua Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Sementara itu, Ismail berkata pihaknya telah mengemukakan enam cadangan calon bagi PRK Semenyih untuk diputuskan pengurusan tertinggi parti itu.

Katanya cadangan nama-nama calon itu dibuat dalam mesyuarat peringkat Umno negeri bersama PAS yang dijalankan hari ini.

“Kita kemuka enam calon daripada wanita, pemuda dan profesional untuk diserahkan kepada pusat untuk tentukan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada PAS kerana memberi laluan kepada Umno untuk bertanding PRK kali ini.

Anggota Parlimen Bera itu turut berkata hubungan antara PAS dan Umno kali ini lebih menyeluruh berbanding dua PRK sebelum ini – Seri Setia dan Sungai Kandis.

“Dalam dua PRK lepas, (hubungan kita) agak lose (longgar) kerana ia hanya melibatkan program bersama. Tapi di Semenyih, lebih menyeluruh. Kita akan mengenal pasti pengundi masing-masing dari hari pertama sehingga mengundi.

“Kita akan tubuh jawatankuasa bersama antara PAS dan Umno untuk selaraskan kerja, sidang media bersama… jadi gerak kerja bukan sahaja di peringkat pusat tapi bahagian.

“Saya yakin dengan kerjasama ini peluang kita untuk rampas semula Semenyih,” katanya.

Mengulas lanjut bentuk kerjasama itu, Sallehen pula berkata PAS akan membuka bilik gerakan parti itu di Semenyih dan menggerakkan kerjasama sama dengan Umno berdasarkan arahan yang diberikan pihak pusat.

“Fokus kita nak dapatkan 6,966 undi yang kita peroleh pada PRU lalu melalui calon kita akan dapat kita dapat kita bekalkan (kepada calon Umno) dan tambah dan cari 20 peratus undi (lain).

“Jentera akan turun seluruhnya, kita bergerak ikut arahan yang dikeluarkan dan memastikan bilik gerakan PAS akan beroperasi PRK ini dan insya-Allah berkeyakinan Umno akan atau calon yang kita persetujui akan menang di DUN Semenyih,” katanya.

Lihat Komen
ADS