Sekumpulan peniaga Uptown Sri Manja di Petaling Jaya hadir ke Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini bagi menyerahkan memorandum dan berbincang mengenai isu permohonan kelulusan berniaga dengan Datuk Bandar Mohd Azizi Mohd Zain.

Penganjur Uptown Sri Manja Ariff Fadli Abd Wahab berkata, isu itu menemui jalan buntu sejak Ogos tahun lalu dan para peniaga mengesyaki ia berpunca daripada salah guna kuasa dalam MBPJ.

“Laporan polis telah dibuat terhadap empat pihak, iaitu timbalan datuk bandar Johary Anuar, ahli majlis zon 17 MBPJ, pengarah perlesenan dan pengarah penguatkuasa.

“Kami tak salahkan MBPJ malah ingin bekerjasama dengan mereka, cuma kami terkilan terhadap beberapa indivu ini kerana salah guna kuasa dan tak beretika,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui bersama kira-kira 20 peniaga yang lain sebelum penyerahan memorandum.

Ariff berkata permohonan kelulusan berniaga dibuat pada 17 Ogos lalu, namun mereka tidak mendapat sebarang maklum balas sehinggalah menerima surat penolakan pada 2 Oktober.

Rayuan kemudian dibuat pada 8 Oktober namun sekali lagi ditolak lebih sebulan kemudian, iaitu pada 22 November, katanya lagi.

Beliau berkata alasan yang dinyatakan MBPJ ketika menolak permohonan pada 2 Oktober adalah pihaknya telah menjalankan perniagan tanpa kelulusan dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Tetapi, katanya lagi, para peniaga masih belum berniaga pada masa itu.

Beliau mendakwa perniagaan tanpa kelulusan hanya bermula pada 31 Oktober sehingga 5 Disember, dan disambung semula pada 26 Disember sehinggalah penguatkuasa pada 16 Januari lalu mengarahkan mereka menghentikannya.

"Kami jumpa bahagian perlesenan pada 18 Januari namun dimaklumkan notis penutupan belum dikeluarkan. Petang itu baru kami dapat notis yang ditandatangani timbalan datuk bandar," katanya lagi.

Maklum balas dalam 14 hari

Hasrat mereka untuk mengadakan perbincangan dengan datuk bandar MBPJ tidak kesampaian dan memorandum diserahkan kepada Penolong Pengarah (aduan) ahmad Hafiz Ahmad Razif.

Hafiz ketika dihubungi berkata segala tindakan MBPJ terhadap peniaga itu mengikut prosedur.

"Kami ada jadual penguatkuasaan untuk semua kawasan, cuma notis dikeluarkan sedikit lambat.

"Kami sudah siasat memang ada yang berniaga di situ (tahun lalu) walau mungkin bukan daripada pihak penganjur. Kami tetap kena ambil kira perkara itu untuk meluluskan permohonan mereka," katanya lagi.

Hasil daripada perjumpaan itu, Hafiz berkata MBPJ akan menyediakan maklum balas dalam masa 14 hari agar penganjur boleh membuat permohonan semula, dengan syarat permohonan baru itu mengambil kira setiap maklum balas tersebut, terutama berkaitan sebab penolakan permohonan sebelumnya.