Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Nazifuddin tak perlu letak jawatan isu atlet Israel'

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Abdul Azim Mohd Zabidi  melihat tiada keperluan untuk Nazifuddin Najib meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung susulan kenyataan berhubung larangan atlet renang paralimik Israel masuk Malaysia.

Abdul Azim berkata demikian sebagai merujuk gesaan Nazifuddin agar kerajaan mempertimbangkan semula larangan untuk atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang diadakan di negara ini.

Jelas Abdul Azim, kenyataan Nazifuddin bersifat peribadi kerana sukan paralimpik tidak bernaung di bawah MOM.

“Pada saya ia merupakan kenyataan peribadi. Nak minta letak jawatan, mungkin tak perlu.

“MOM tak ada nak buat kenyataan kerana ini isu paralimpik, bukan isu MOM kerana paralimpik ada badan dia sendiri dan tak bernaung bawah MOM,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, Abdul Azim turut tidak menolak kemungkinan isu berkaitan kenyataan Nazifuddin itu dibawa kemesyuarat MOM.

Sebelum ini, Nazifuddin yang merupakan anak lelaki dari perkahwinan bekas perdana menteri Najib Razak mencadangkan agar atlet Israel dibenarkan menyertai kejohanan itu dengan syarat tidak membenarkan penyiaran lagu kebangsaan negara mereka dimainkan atau bendera Israel dikibarkan.

Kenyataan itu mengundang kecaman Persatuan Kanu Malaysia (Masca) yang  menggesa Nazifuddin meletakkan jawatannya.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan penyertaan atlet Israel pada kejohanan itu yang dijadualkan berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos ini di Kuching.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.

Kejohanan itu merupakan antara kejohanan kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Abdul Azim berkata, bantahan terhadap kemasukan atlet Israel ke negara ini bukan isu baru kerana kejadian seumpamanya pernah terjadi pada 1997 melibatkan sukan kriket.

“Bagi sukan kriket, kita masih lagi dijemput bermain di sukan antarabangsa, tak nampak impaknya pada saya. Kalau dulu punya kes, sampai pemuda PAS buat bantahan.

“Kalau kita lihat sukan kriket, berkembang dengan baik dan tak nampak impak (kesan terhadap antarabangsa) apa pun,” katanya.

Lihat Komen
ADS