Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes jenayah seksual kanak-kanak: Waran tangkap bekas atlet kebangsaan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan waran tangkap kepada bekas pemain bola keranjang negara Mohd Shadzwan Kamarulzaman kerana tidak hadir perbicaraan tuduhan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Hari sepatutnya permulaan perbicaraan Shadzwan di Mahkamah Khas bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di Putrajaya.

Hakim Yong Zarida Sazali mengeluarkan waran itu susulan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa apabila Shadzwan gagal hadir selepas waktu rehat ketika prosiding mahkamah.

Bekas atlet kebangsaan, kini berusia 30 tahun, sebelum itu tiba di mahkamah berseluar jeans dan memakai baju merah, serta mengulangi hasratnya dibicarakan mahkamah.

Timbalan pendakwa raya kemudian memohon untuk menyiapkan kenyataan mangsa sebelum meneruskan perbicaraan.

Walau bagaimanapun, Shadzwan tidak muncul-muncul apabila mahkamah kembali bersidang.

Ada kecemasan

Peguamnya, Khairul Mokhtar, kemudian meminta maaf kepada mahkamah mengatakan anak guamnya terpaksa berkejar keluar kerana ada kecemasan dan beliau telah cuba menghubungi Shadzwan sebanyak dua kali.

Walau bagaimanapun, Khairul tidak menyatakan apa keadaan kecemasan itu.

Bekas atlet negara itu didakwa di bawah Seksyen 377E Kanun Keseksaan kerana mempengaruhi kanak-kanak melakukan kelucahan melampau yang boleh dihukum sehingga lima tahun penjara dan sebatan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 5 tahun dan sebatan.

Waran tangkap yang sama telah dikeluarkan terhadap Shadzwan pada 1 November tahun lepas, tetapi kemudian mahkamah menarik balik semula perintah itu selepas tertuduh menjelaskan sebab beliau menangguhkan kehadiran ke mahkamah sebagaimana yang dijadualkan.

Perbicaraan selama dua hari itu kini ditangguhkan sehingga 12 Februari akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS