Kerajaan Perak merancang untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi menangani masalah keciciran pelajar yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri lengkap tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata jawatankuasa itu melibatkan pelbagai sekolah, agensi dan jabatan yang berkaitan termasuk Jabatan Pendidikan Negeri.

"Kita dapati perkara ini timbul kerana masalah kemiskinan, masalah kahwin campur dengan bukan warganegara, ataupun nikah di sempadan dan banyak lagi masalah lain.

“Dengan adanya jawatankuasa ini kita harap masalah ini dapat ditangani dengan lebih komprehensif dan saya kira ia bukan sahaja berlaku di sini tetapi di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat adik Nor Marsya Ezuan, yang baru memulakan persekolahan tahun satu di Sekolah Kebangsaan Ganda di Grik, Perak hari ini.

Katanya, masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri melibatkan anak tidak sah taraf dan ibu atau bapa bertaraf warganegara asing perlu diberi perhatian oleh semua pihak demi masa depan pelajar terbabit.

Nor Marsya yang lahir di Hospital Gerik pada 2012, tidak mempunyai pengenalan diri dan diberi status bukan warganegara, dijadikan anak angkat oleh Rosidah Che Dam yang mengambilnya sejak lahir dan didaftar sebagai anak angkat oleh Jabatan Pendaftaran Negara pada 2014.

Pada tahun yang sama, usaha mendapatkan taraf warganegara untuk Marsya dibuat tetapi sehingga kini masih belum diluluskan.

Sementara itu, Rosidah berkata beliau percaya ramai lagi kanak-kanak lain senasib dengan Marsya tetapi keluarga tidak mahu tampil kerana prosesnya sangat rumit.

“Saya harap proses ini dapat dipermudahkan demi menjamin masa depan anak-anak ini dalam pelajaran. Saya merayu kepada pihak berkenaan supaya proses kerakyatan Marsya ini dipercepatkan demi masa depan dia,” katanya.

- Bernama