Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PRK Cameron Highlands: DAP gesa pengundi pulang mengundi
Diterbitkan:  Jan 23, 2019 11:46 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

PRK CAMERON l Pengundi Cina khususnya yang bermastautin di luar kawasan Cameron Highlands diseru balik mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen itu, Sabtu ini.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata semua pengundi Cameron Highlands perlu menunaikan tanggungjawab nasional selaku rakyat Malaysia, sekali gus menyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRK ini.

"Kita faham Tahun Baharu Cina tinggal selang 10 hari sahaja selepas PRK, mungkin pengundi Tionghua rasa keperluan untuk pulang mengundi kurang tapi kehadiran mereka amat penting.

"Setiap undi dikira untuk kepentingan negara dan bagi generasi akan datang. Saya meminta mereka (pengundi) untuk pulang (mengundi), tidak kira Melayu, Cina, India dan Orang Asli, kita harap mereka sokong PH.

“Dengan cara ini, kita boleh menang dan kalau kita menang, ia merupakan kejayaan besar," katanya kepada pemberita selepas menyantuni penduduk di kawasan Tapak Pasar Pagi Kampung Raja, pagi ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata Chiong Yoke Kong dan Adun Balakong, Selangor Wong Siew Ki.

Lim meluangkan masa kira-kira 40 minit di kawasan itu diiringi muzik gendang Cina yang dipersembahkan oleh sebuah kumpulan tarian singa.

PRK berkenaan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH M Manogaran, bekas pesara Polis Diraja Malaysia Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional dan dua calon bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee.

- Bernama

Lihat Komen
ADS