Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anak pegawai kanan SSM serah dokumen isu projek RM500 juta'
Diterbitkan:  Jan 23, 2019 12:03 PM
Dikemaskini: 4:06 AM

Anak pegawai pengurusan tertinggi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dilapor menyerahkan dokumen berkaitan siasatan ke atas dakwaan skandal projek bernilai RM500 juta.

Dokumen berkaitan diserahkan kepada SPRM di ibu pejabatnya di Putrajaya semalam oleh lelaki 20-an itu, lapor Berita Harian.

Memetik sumber, akhbar itu melaporkan lelaki itu diminta hadir untuk menyerahkan dokumen berkaitan siasatan kerana disyaki ada bukti yang cuba disembunyikan hasil siasatan.

Terdahulu, SPRM dilaporkan menyiasat anak kepada seorang pegawai kanan di SSM selepas serbuan dilakukan di tiga syarikat dan di Menara SSM, Kuala Lumpur pada 14 Januari lalu.

Satu syarikat yang diserbu didakwa mempunyai kaitan dengan anak pegawai kanan berkenaan.

Pada 9 Januari lalu, SPRM merampas 69 kotak berisi dokumen perjanjian dipercayai membabitkan dakwaan skandal itu.

Ia bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan rundingan terus, kerugian kerajaan dan penipuan awam.

Dua kotak lagi mengandungi 71 dokumen dirampas dua hari selepas itu.

Lihat Komen
ADS