Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri arah siasat isu timbalan guna kenderaan Jabatan Perhutanan

PRK CAMERON | Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar hari ini mengesahkan telah mengarahkan siasatan berhubung isu penggunaan kereta pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan oleh Timbalan Menterinya Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Menurut Xavier, beliau juga mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (Kats), Zurina Pawanteh untuk membuat siasatan berhubung dakwaan itu. 

"Saya juga minta ketua pengarah Kats dan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang untuk menyiapkan satu laporan.

“Biar siasatan dijalankan. Siasatan ini tak lama. Kecil saja. Hasil laporannya boleh perolehi mungkin selepas PRK,” katanya yang menambah tindakan selanjutnya akan diambil selepas laporan penuh diperoleh kementeriannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 di Pantai Dalam, Kuala Lumpur hari ini.

Baru-baru ini Tengku Zulpuri didakwa menggunakan kenderaan milik Jabatan Perhutanan Pahang bagi kempen PRK Cameron Highlands.

Setiausaha kerajaan Pahang Sallehuddin Ishak mengesahkan kenderaan itu dipinjamkan untuk kegunaan rasmi Tengku Zulpuri.

Sallehuddin, bagaimanapun, mengarahkan kenderaan itu dipulangkan selepas ia didapati dilekatkan dengan bendera PH di Cameron Highlands.

Tengku Zulpuri, yang juga anggota parlimen Raub, bertanggungjawab terhadap kempen PH pada PRK Cameron Highlands di Jelai.

Dua hari lalu, calon BN Ramli Mohd Nor membuat laporan polis berkaitan dakwaan salah guna sumber kerajaan untuk kempen PRK itu.

Kerajaan negeri setuju naikkan kadar tarif air

Dalam pada itu, Xavier turut menyatakan kementerian beliau masih berbincang dengan kerajaan negeri berkenaan kenaikan tarif air.

Katanya, secara umum, semua negeri bersetuju dengan kenaikan tarif air seperti yang diumumkan oleh beliau pada 9 Januari lalu.

"Secara umumnya semua kerajaan negeri sudah setuju. Kini, cuma berbincang soal berkaitan kadar tarif air yang perlu diperkenalkan.

"Kita akan muktamadkan kadar tarif air yang baharu dalam masa terdekat," tambahnya lagi.

Terdahulu, Xavier mengesahkan bahawa kerajaan berhasrat menaikkan kadar tarif air secara berperingkat selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air.

Menurutnya, kenaikan tarif tersebut perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri tersebut dari sudut perkhidmatan.


Lihat Komen
ADS