Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara membuat laporan polis terhadap anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok yang didakwa menyimpan, mengedar dan menyebarkan bahan lucah berhubung "wanita bogel melakukan ketuk ketampi".

Laporan itu dibuat pada 5 petang semalam di Ibu Pejabat Polis Sentul oleh anggota alumni, Abdul Razak Mohd Ghazali yang mendakwa Kok menyebarkan klip video itu menerusi satu komputer riba kepada beberapa anggota Parlimen dan juga wartawan di lobi bangunan Parlimen pada 25 November lepas.

Ketika ditemui pemberita di perkarangan IPD Sentul, Abdul Razak berkata Kok telah melakukan fitnah dengan tanpa usul periksa menyatakan kononnya wanita dalam klip video itu adalah pelancong dari China sedangkan orang itu adalah wanita Melayu tempatan.

Menurut laporan Bernama, Abdul Razak berkata, perbuatan Kok itu telah merosakkan kredibiliti Polis Diraja Malaysia dan menimbulkan suasana gempar antara kerajaan dan rakyat selain mengeruhkan hubungan Malaysia dan China.

Katanya isu itu turut merosakkan industri pelancongan kerana telah menimbulkan ketakutan rakyat China untuk melancong ke Malaysia.

Isu klip video bogel dan ketuk ketampi itu turut menggemparkan kerajaan hingga terpaksa menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk meyioasat kejadian trsebut.

Semalam laporan penuh siasatan suruhanjaya yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad Dzaiddin Abdullah itu diumumkan kepada orang ramai.

Antara lain kesimpulan yang dibuat oleh suruhanjaya tersebut ialah perbuatan membogelkan tahanan dan mengarahkan ketuk ktampi adalah haram di sisi syariah, melanggar hak asasi manusia dan perlu dihentikan serta merta oleh Polis Diraja Malaysia.