Kementerian Sumber Manusia sedang mempertimbangkan untuk menaikkan julat kategori gaji pekerja asing profesional yang memohon pekerjaan di Malaysia.

Kata menterinya, M Kulasegaran, kenaikan itu akan menyebabkan pekerja asing profesional hanya boleh memohon pekerjaan bergaji RM5,000 ke atas berbanding RM3,000 ke RM5,000 sebelum ini.

“Kategori gaji ini (RM3,000 ke RM5,000) boleh diisi dengan mudah oleh rakyat Malaysia sendiri.

“Kenapa kita mahu pekerja asing pula mengisinya?” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Talent Corporation Malaysia Bhd (Talentcorp) di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Talentcorp N Sivakumeren.

Kata Kulasegaran, sebuah jawatankuasa dianggotai pihak berkepentingan dalam industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan ditubuhkan bagi mengkaji kenaikan tersebut.

Tambah Kulasegaran, kenaikan itu adalah bagi mengurangkan persaingan di antara pekerja asing dan tempatan.

Mengulas hal yang sama, Sivakumeren menjelaskan daripada 71,000 permohonan pekerja asing yang diluluskan pada 2018, hanya lima peratus - atau 2,173 permohonan - yang tergolong dalam julat gaji tersebut.

Jumlah tersebut, katanya, menunjukkan trend menurun berbanding dua tahun lepas.

“Disebabkan Kementerian Dalam Negeri meletakkan banyak undang-undang yang ketat, kami melihat trend menurun.

“Permohonan begitu tinggi pada dua tahun lepas, tetapi pada 2018 ia berkurangan kerana penguatkuasaan lebih ketat,” jelasnya lagi.