Pelancong India pula dakwa jadi mangsa Jabatan Imigresen
Belum reda isu seorang penyelidik politik Perancis mendakwa menjadi mangsa buli dan ugut para pegawai imigresen, seorang ahli perniagaan tampil mendakwa beberapa pegawai imigresen sengaja menghantar balik sepupunya ke negara asal tanpa sebarang alasan kukuh.
Menurut K Sivakumar, beliau sedih dan terkejut selepas beberapa pegawai di KLIA2 bertindak menghantar balik sepupunya ke India pada Sabtu lalu atas alasan tidak membawa wang mencukupi.
"Sebenarnya, alasan yang diberikan oleh Jabatan Imigresen untuk menghantar balik sepupu saya ke India tidak benar. Beliau membawa RM2,000 ke Malaysia pada 18 Januari lalu."
Mengulas insiden tersebut, Sivakumar berkata sepupunya datang ke Malaysia dengan tujuan untuk melancong dan membuat pemeriksaan kesihatan.

"Saya sendiri menguruskan persiapan perjalanan beliau. Beliau sepatutnya ke Malaysia pada 18 Januari menghadiri Perayaan Thaipusam di Malaysia sebelum pulang pada 28 Januari ini. Saya sendiri ke KLIA2, untuk menjemput beliau," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media, di Kuala Lumpur, hari ini.
"Sebaik beliau tiba di KLIA2, saya diberitahu olehnya bahawa beliau ditahan oleh Jabatan Imigresen atas sebab tidak jelas. Ketika, saya cuba ke pejabat imigresen, saya dihalang oleh seorang pegawai imigresen dan membenarkan saya membuat komunikasi melalui telefon.
"Ketika, saya menghubungi melalui telefon, saya diberitahu bahawa sepupu saya tidak membawa wang yang mencukupi untuk memasuki Malaysia. Saya terkejut dengan alasan tersebut kerana saya sangat pasti sepupu saya itu ada RM2,000 yang ditukar sebelum dia terbang dari India," katanya.
Tidak fasih
Menurut Sivakumar, pegawai tersebut juga tidak sopan ketika siasatan dan tidak menghiraukan permintaannya untuk berjumpa dengan sepupunya yang tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.
"Permintaan saya sebanyak tiga kali melalui telefon ditolak. Sepupu saya tetap dihantar pulang ke India pada hari Sabtu.
“Saya percaya perkara ini tidak berlaku sekiranya pegawai imigresen membenarkan saya ke pejabatnya. Insiden ini juga dapat dielakkan sekiranya pegawai imigresen itu fasih berbahasa Tamil ketika siasat kes ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu Jabatan Imigresen supaya menyiasat kes itu agar sepupunya berpeluang kembali ke Malaysia.
"Pada pendapat saya, pelancong-pelancong dari negara-negara dunia ketiga seperti India, China, Bangladesh dan lain-lain sering menjadi mangsa kerana isu komunikasi dan sering dipandang rendah oleh segelintir pegawai di Malaysia.
“Pelancong dari negara-negara miskin bukan bermaksud mereka tidak mempunyai wang dan boleh dilayan sesuka hati.
"Mereka juga manusia seperti kita," kata Sivakumar sambil mengesahkan dirinya telah membuat satu laporan polis berhubung isu ini.
"Dalam kes ini, sepupu saya jelas dianiayai oleh jabatan imigresen. Beliau dalam trauma selepas ditahan lebih 24 jam dan membazir wangnya dengan membeli tiket, visa dan sebagainya," kata Sivakumar lagi.
Isnin lalu, seorang penyelidik politik Perancis mendakwa beliau menjadi mangsa buli dan diugut para pegawai imigresen ketika tiba di KLIA2.

Sophie Lemiere, mendakwa seorang pegawai menahan beliau yang baru tiba dari Singapura di kaunter imigresen daripada memasuki negara sekitar pukul 9 malam tadi.
Menurut Lemiere, pegawai imigresen berkenaan memberitahunya hal ini disebabkan namanya ditandakan berada dalam senarai polis.
Di sebalik penjelasan Lemiere yang merupakan pakar kajian Malaysia di Ash Center for Democratic Governance and Innovation dari Universiti Harvard bahawa berada di Malaysia untuk menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan atas undangan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Ching Tong, beliau mendakwa dirinya terus dibuli.

