Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno jawab Kit Siang: Ramli pencetus kebangkitan Orang Asli

Umno menyangkal dakwaan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang menyifatkan pemilihan Ramli Mohd Nor sebagai calon BN untuk PRK Cameron Highlands sebagai lambang kegagalan BN memperbaiki kedudukan Orang Asli.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Lokman Noor Adam berkata kenyataan Lim tidak adil terhadap golongan itu.

"Ramli sepatutnya diangkat sebagai lambang pencapaian baik Orang Asli memandangkan beliau Orang Asli pertama yang menjadi pegawai kanan polis dan kini bakal menamatkan pengajian doktor falsafah.

"DASP boleh meletakkan Orang Asli sebagai calon namun mereka menghalang peluang golongan itu untuk pertama kali masuk ke Parlimen, dengan meletakkan calon yang sudah dua kali kalah di Cameron Highlands (M Manogaran)," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Lim antara lain berkata kedudukan ekonomi dan pendidikan Orang Asli sepatutnya lebih baik tetapi ia tidak berlaku sepanjang enam dekad pentadbiran BN.

"... Adakah kita hanya mampu menghasilkan seorang Orang Asli sebagai pengarah jenayah komersil negeri dalam tempoh 60 tahun? Bilakah agaknya Orang Asli akan menjadi antara lapan pegawai teratas dalam Polis Diraja Malaysia?" soalnya, merujuk Ramli yang pernah mengetuai jabatan jenayah komersial Pulau Pinang.

Jawatan terakhir Ramli sebelum bersara adalah sebagai timbalan pengarah jenayah komersil Bukit Aman.

Seorang lagi anggota MT Umno Armand Azha Abu Hanifah menyifatkan Ramli lebih baik berbanding M Manogaran yang disifatkannya sebagai calon kitar semula.

"Ia tanda BN mendengar suara akar umbi dengan meletakkan calon dari golongan Orang Asli. Pakatan Harapan (PH) pula mengangkat calon yang sudah dua kali tewas.

"Ramli bukan lambang kegagalan, tetapi pencetus kepada kebangkitan Orang Asli. Mengangkat dan memartabatkan suara Orang Asli," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS