Indonesia bebaskan Ahok hari ini
GLOBAL l Indonesia hari ini membebaskan bekas gabenor Jakarta bukan Islam pertama negara itu, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, setelah beliau menjalani hukuman dua tahun yang telah dikurangkan selepas didapati bersalah menghina Islam.
Purnama, 52 yang berketurunan Cina Kristian tewas pada pemilihan semula menjadi gabenor pada 2017 selepas ratusan ribu penunjuk perasaan Islam turun ke jalanan membantah pencalonannya.
"Ayah saya kini bebas! Terima kasih semua orang atas sokongan itu," kata anaknya, Nicholas Sean, di laman media sosial Instagram, yang berswafoto dengan bapanya.
Ahok sebelum ini sering dipuji kerana cuba mengatasi kesesakan jalan raya di Jakarta dan berjaya membanteras rasuah.
Namun, kejatuhan Ahok berlaku secara mendadak selepas kenyataan beliau dalam kempen pemilihan semula yang mendakwa bekas gabenor itu menghina Al Quran.
Rakaman kenyataannya menjadi tular secara atas talian, sekali gus mencetuskan bantahan besar-besaran di Jakarta, diketuai kumpulan radikal yang menentang pemimpin bukan Islam serta menyokong pencabarnya.
Bantahan itu menyebabkan beliau kalah pada pilihan raya kepada calon beragama Islam dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada Mei 2017.
Ia dianggap hukuman berat yang luar biasa kerana pendakwa raya hanya mencadangkan tempoh pemerhatian untuk pemimpinitu.
Kes Ahok menjadi tajuk utama dunia dan mencetuskan gelombang kritikan, termasuk daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa negara dengan 260 juta penduduk itu menyemak semula undang-undang menghina agama.




