Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan mendedahkan mereka tidak dimaklumkan mengenai sebarang kelulusan kawasan pembalakan dan penerokaan tanah di negeri itu

Pengarahnya Hamzah Mohamed berkata, ini kerana JAS tidak diundang sebagai anggota Jawatankuasa Kecil Perhutanan Kelantan yang berperanan dalam soal kelulusan kawasan dan pemberian konsesi pembalakan di seluruh Kelantan.

Menurutnya, JAS hanya menjalankan pemantauan ke atas penerokaan tanah dan pembukaan kawasan yang mendapat kelulusan laporan kesan alam sekitar (EIA) sahaja.

"JAS Kelantan mempunyai pasukan di Gua Musang yang menjalankan pemantauan setiap masa serta menghantar laporan secara berkala.

"Tidak benar kalau JAS didakwa gagal menjalankan pemantauan ke atas kawasan yang mengemukakan laporan EIA, kerana kami mempunyai pasukan pemantau khas yang menjalankan tugas berkenaan," katanya ketika ditemui media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa JAS gagal menjalankan kerja pemantauan kesan alam sekitar di kawasan petempatan Orang Asli.

Kenyataan itu dibuat selepas kerajaan persekutuan - yang mewakili masyarakat suku Temiar - mengemukakan saman terhadap kerajaan Kelantan berhubung tanah adat di Pos Simpor, Gua Musang baru-baru ini.

Satu syarikat kemuka EIA

Peguam Negara, Tommy Thomas dilaporkan berkata ia susulan kerajaan negeri dan beberapa agensinya baru-baru ini mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta.

Menurut beliau, syarikat terbabit memasuki tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor menggunakan jentera berat dan menebang hutan serta membawa keluar kayu balak sekali gus dinafikan tanah adat dan sumber mereka.

Selasa lalu Mahkamah Tinggi Kota Bharu menetapkan 14 April depan untuk perbicaraan permohonan injunksi kes saman tersebut.

Saman itu difailkan terhadap kerajaan Kelantan dan tujuh lagi defendan bagi mendapat pengiktirafan hak tanah adat bagi suku Temiar di kawasan tersebut.

Gambar fail

Defendan pertama hingga ketiga masing-masing melibatkan kerajaan Kelantan, pengarah Jabatan Tanah dan Galian Kelantan dan pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan.

Selain itu lima lagi defendan dinamakan dalam saman tersebut iaitu Fleet Precision Sdn Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Bhd, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Bhd.

Sementara itu Hamzah mendedahkan, berdasarkan rekod yang ada pada JAS hanya sebuah syarikat - iaitu Fleet Precision Sdn Bhd - mengemukakan laporan EIA untuk aktiviti perladangan mereka.

"Bagi kawasan yang tiada laporan EIA, JAS tak ada kuasa. Kawasan yang ada kelulusan hanya Fleet Precision Sdn Bhd dan berdasarkan pemantauan kami tanah diuruskan syarikat itu sudah siap ditanam dan tidak ada pencemaran.

"Selain itu, JAS tidak mempunyai rekod dan maklumat berhubung empat lagi syarikat yang namanya turut disebut sebagai defendan dalam prosiding mahkamah itu," katanya.

Justeru kata Hamzah JAS tidak pasti sama ada empat syarikat itu pernah dirujuk untuk mengemukakan laporan EIA atau tidak, atau syarikat berkenaan telah bertukar nama atau sebagainya.

Keadaan itu berlaku, katanya, keraja JAS Kelantan kita tidak mempunyai rekod tentang syarikat berkenaan.

Tambah Hamzah, JAS telah menguatkuasakan perintah EIA pada 2015 dan sebarang pembukaan atau penerokaan kawasan hutan melebih 100 ekar memerlukan laporan mengikut peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Lihat Komen
ADS