Dengan tinggal kurang 24 jam sebelum hari pengundian, semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands esok menggunakan masa sebaik mungkin untuk meraih keyakinan pengundi.

Kini semakin ramai pemimpin atasan Pakatan Harapan (PH) turun padang membantu jentera pilihan raya parti berkenaan untuk ‘memancing undi’ untuk calonnya M. Manogaran dari DAP.

Untuk fasa terakhir kempen, PH dilihat lebih memberi tumpuan untuk 'menggempur' kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang juga kubu pembangkang yang dipimpin Adun BN, Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar Pahang.

Antara yang kelihatan pada ‘pecutan terakhir’ ini ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohamad Sabu, serta Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad yang turut turun padang ke Felda Sungai Koyan untuk bertemu pengundi tengah hari ini.

Dalam majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Sungai Koyan di Dataran Felda Sungai Koyan 1, Mahathir menerima sambutan hangat daripada penduduk tempatan termasuk komuniti Orang Asli.

Cuaca cerah membolehkan pemimpin nombor satu Malaysia itu berucap selama kira-kira 30 minit yang menerima sorakan dan tepukan gemuruh para hadirin. Intipati ucapannya antaranya berkisar pada PRK itu selain meminta pengundi memilih calon PH.

Sementara itu, Lim dalam ucapannya menyeru pengundi di kawasan Parlimen Cameron Highlands supaya memberikan sokongan dengan mengundi Manogaran untuk membawa lebih banyak perubahan di kawasan itu.

“Berilah peluang kepada calon kita. Kalau tidak boleh, anda (pengundi) boleh tendang kita (kerajaan PH) keluar. Itu janji kita. Tapi apa-apapun berilah kami peluang mentadbir dan masa untuk membangunkan negara ini,” katanya.

Sementara itu, Manogaran dalam ucapannya turut menyeru para pengundi khususnya orang Sungai Koyan dan masyarakat Orang Asli agar mengundinya serta berjanji akan merencanakan beberapa perkhidmatan yang dimahukan masyarakat setempat dengan secepat mungkin.

“Ramai orang tanya saya, apakah saya akan buat selepas menang? Saya telah jawab yang kita akan dirikan pejabat Pakatan Harapan di (DUN) Jelai dan Tanah Rata bagi memberikan perkhidmatan.

“Saya juga akan perjuangkan isu jangan bawa pekerja luar (asing) dan akan mendengar masalah penduduk dan tok batin di sini. Saya juga akan ketuk pintu menteri kewangan untuk mendapatkan peruntukan pembangunan di sini, agenda di sini,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta para pengundi agar keluar awal beramai-ramai dan memberi mandat kepadanya dalam usaha membela rakyat yang diwakilinya nanti.

PRK Cameron Highlands esok akan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH, Manogaran, Calon BN diwakili Ramli Mohd Nor manakala dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh dari BN pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

- Bernama