Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SSM: Dokumen salinan asal atas talian sahih
Diterbitkan:  Jan 25, 2019 9:51 PM
Dikemaskini: 1:51 PM

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menafikan dakwaan bahawa kesahihan dokumen salinan asal (CTC) atas talian yang dibeli daripada syarikat itu diragui.

Dalam satu kenyataan, SSM berkata pembangunan sistem berkenaan adalah teratur dan mengikut undang-undang sedia ada.

"Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menafikan sekeras-kerasnya laporan sebuah portal berita yang mendakwa bahawa kesahihan dokumen salinan asal (CTC) atas talian diragui.

"Untuk makluman, pembangunan sistem ini adalah teratur dan mengikut perundangan yang ditadbir oleh SSM.

"Kesemua dokumen CTC yang dikeluarkan melalui sistem atas talian adalah sahih dan diperakui sama seperti dokumen yang disimpan di dalam daftar SSM," tegasnya.

Sehubungan itu, SSM menegaskan bahawa salinan dokumen-dokumen yang digunakan oleh pihak awam adalah sah di sisi undang-undang dan tiada asas untuk diragui nilai kesahihannya.

"SSM memohon agar mana-mana pihak di luar sana termasuk para pengamal media tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi mengenai isu ini," jelasnya.

Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan dokumen yang disahkan sebagai CTC itu mungkin diragui kerana sistemnya dipersoalkan.

Ini selepas sumber mendakwa para penyiasat SPRM menemukan isu berkaitan sistem yang menyediakan khidmat salinan asal maklumat syarikat itu.

Salinan berkenaan boleh dibeli dalam talian pada harga RM30.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS