Antara 20 dan 30 peratus daripada kira-kira 23 juta pelancong yang memasuki Malaysia pada tahun lepas didapati tidak meninggalkan negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Aziz Jamman ketika mendedahkan perkara itu hari ini berkata mereka yang masuk menggunakan pas lawatan sosial itu dipercayai berada atau menetap di sini walaupun tempoh lawatan telah berakhir.

Beliau berkata kementerian memandang serius isu tersebut dan tidak mahu pelancong asing menggunakan peluang lawatan sosial untuk terus menetap di negara ini pada masa depan.

“Seperti negara lain, kerajaan juga menggunakan Notis Tolak Kemasukan (NTL) di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63 di semua pintu masuk ke negara ini sebagai antara kaedah mengatasi isu tersebut.

“Ini proses biasa digunakan di mana-mana negara, dan kita akan terus memperkasakan pelaksanaannya agar ketidakseimbangan antara jumlah yang masuk dan keluar tidak terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kaunter Jabatan Imigresen dan bilik menunggu sementara mereka yang dikenakan NTL di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, yang turut disertai Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Mengenai NTL, Mohd Aziz berkata seramai 85,946 warga asing dikenakan notis itu tahun lepas atas pelbagai faktor, antaranya tidak mempunyai tiket pulang, tidak mempunyai hotel penginapan serta tidak mempunyai wang perbelanjaan mencukupi untuk menampung perbelanjaan sepanjang berada di negara ini.

Selain faktor keselamatan, perkara tersebut merupakan kriteria yang perlu ditunjukkan pelancong asing bagi mengelak mereka dikategorikan sebagai NTL, katanya.

Mohd Aziz berkata warga Indonesia merupakan jumlah teramai pelancong yang dikenakan NTL dengan 43,870 orang, diikuti China dan India dengan masing-masing 12,853 dan 8,119 orang.

Dalam perkembangan lain, Mohd Aziz berkata kementerian itu kini dalam proses perolehan peralatan dan kelengkapan tertentu bagi mengatasi isu kesesakan yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor.

Beliau berkata perolehan melibatkan peruntukan RM10 juta disediakan kerajaan itu antara lain untuk mempertingkatkan kualiti pagar automatik yang digunakan selain penyelenggaraan sistem kawalan sempadan automatik bagi penunggang motosikal atau M-Bike.

Beliau berkata penggunaan peralatan lebih canggih dan terkini diyakini mampu mengatasi isu kesesakan lalu lintas di CIQ yang secara harian menampung 200,000 kenderaan termasuk 40,000 motosikal.

Kerja-kerja penambah baikan itu dijangka siap selewat-lewatnya lima bulan, katanya.

-- Bernama