PRK CAMERON | Anggota polis telah diletakkan secukupnya bagi mengawal keselamatan dan lalu lintas sepanjang tempoh pengundian Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands berlangsung hari ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata walaupun terdapat pertambahan kenderaan ke tempat peranginan berkenaan, keadaan trafik sehingga kini masih terkawal.

"Setakat ini tidak ada sebarang aduan berhubung kesesakan lalu lintas atau apa-apa sahaja berhubung kait pilihan raya ini.

"Kita dah letakkan keanggotaan secukupnya untuk pastikan perjalanan tersusun seperti biasa hari minggu ini, tempat ini menjadi tumpuan pelancong tempatan," katanya ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bertam Valley, di Tanah Rata, salah satu pusat mengundi bagi PRK berkenaan.

Tinjauan Bernama setakat 11 pagi inii bagaimanapun mendapati, keadaan trafik daripada Kea Farm ke Tanah Rata mulai sesak, seperti kebiasaan setiap hujung minggu.

PRK berkenaan yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi parlimen itu, terbatal dan tidak sah, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan dan BN serta dua calon bebas.

Calon-calon berkenaan ialah Timbalan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran mewakili PH, bekas Pesara Polis Diraja Malaysia, Ramli Mohd Nor mewakili BN dan dua calon bebas, iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61 serta petani Wong Seng Yee, 40 (eng: He).

Kesemua pusat pengundian akan ditutup sepenuhnya secara berperingkat pukul 5.30 petang ini.

- Bernama