Kes keganasan terhadap wanita membimbangkan - TPM
Kes keganasan terhadap wanita berada di tahap membimbangkan dengan sebanyak 4,963 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang 11 bulan pertama tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Secara umumnya, masalah sosial seperti keganasan terhadap wanita, penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan kehamilan remaja kian meningkat serta mendapat perhatian pelbagai pihak," kata beliau berucap merasmikan Program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Johor, di Angsana Mall, di sini hari ini.
Program Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama kerajaan negeri Johor itu turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Dan Pelancongan Johor Liow Cai Tung.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Talian Kasih 15999 yang dilaksana untuk membantu mangsa atau pihak ketiga mendapatkan bantuan, menerima 651 kes permohonan bantuan membabitkan penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga.
Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, 75 kes daripadanya adalah di Johor sekali gus merupakan yang ketiga tertinggi di negara ini.
Katanya, sehubungan itu, orang ramai diharap menunjukkan keprihatinan dengan menjadi 'mata dan telinga' KPWKM dalam melaporkan perkara meragukan untuk disiasat dan diberikan bantuan kepada manga terlibat.
Timbalan Perdana Menteri berkata KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) secara berterusan melaksanakan program khusus untuk menangani keganasan terhadap wanita kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang terlibat malah kepada keluarga, masyarakat serta negara keseluruhannya.
Dr Wan Azizah berkata pihaknya turut mengharapkan semua pihak memberikan kerjasama terhadap program-program yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung keganasan terhadap wanita, khususnya kepada kaum lelaki.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata sehingga 31 Dis lepas, seramai 63,132 wanita seluruh negara direkodkan sudah berdaftar dengan Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) manakala 25,674 wanita dalam kalangan suri rumah telah berdaftar dengan Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan), bagi mereka yang tidak layak memohon i-Suri.
"Pelancaran i-Suri pada 8 Ogos 2018, adalah untuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial asas kepada golongan suri rumah yang memikul tanggungjawab mendidik dan membesarkan anak.
"Mereka adalah golongan yang amat terdedah kepada risiko apabila berlaku musibah dalam keluarga," katanya dengan menambah seramai 1,177 suri rumah di Johor berdaftar i-Suri setakat 31 Dis lepas.
Beliau dalam pada itu, turut menyambut baik usaha kerajaan Johor mewujudkan program 'Mama Friendly' iaitu menyediakan kemudahan bilik penyusuan kepada penjawat awam wanita di negeri ini untuk menggalakkan ibu berkerjaya menyusu anak di tempat kerja.
"Menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT), program ini akan dilaksanakan sebagai projek perintis di pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Iskandar, seterusnya diperluaskan di premis kerajaan lain.
"Besar harapan saya supaya program ini dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat menerusi perkongsian perkhidmatan dan kepakaran semua pihak," katanya.
-- Bernama

