Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi jaminan bahawa perkhidmatan Pihak Berkuasa Pemerakuan (PBP) di bawah seliaannya menggunakan sistem yang boleh dipercayai.

Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu berkata semua PBP berlesen di Malaysia perlu melalui proses pengauditan tahunan mandatori.

“Perkhidmatan yang disediakan oleh PBP yang dikawal selia pihak SKMM di bawah Akta Tandatangan Digital 1997, adalah menggunakan sistem yang boleh dipercayai. Setakat suku keempat 2018 sejumlah 12.4 juta perakuan telah dikeluarkan oleh empat PBP berlesen.

“Kesemua PBP berlesen di Malaysia perlu melalui proses pengauditan tahunan mandatori oleh juruaudit bertauliah yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi, piawaian dan amalan tandatangan digital bagi memastikan pihak PBP menggunakan sistem yang boleh dipercayai,” menurut kenyataan SKMM.

Kenyataan itu merujuk laporan Malaysiakini pada Khamis lalu yang memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasual Malaysia (SPRM) sebagai berkata bahawa terdapat keraguan berhubung salinan asal (CTC) daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sementara itu, SKMM menambah bahawa proses pengauditan dilakukan berdasarkan piawaian antarabangsa Webtrust yang diguna pakai oleh kebanyakan PBP utama di seluruh dunia.

“Di samping itu, pengguna perkhidmatan PBP turut dilindungi oleh jaminan sesuai yang disediakan PBP di bawah ATD1997,” kata kenyataan itu.

SKMM turut mengalu-alukan agar pihak yang mempunyai soalan mengenai perkhidmatan tandatangan digital yang dibekalkan oleh PBP berlesen  menghubungi suruhanjaya itu untuk mendapatkan penjelasan.