ATM nafi dakwaan kebajikan tentera diabai
Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) menafikan dakwaan yang mengatakan Kementerian Pertahanan tidak mempunyai rancangan untuk veteran tentera.
Menyifatkan dakwaan itu sebagai "tidak berasas", ketua pengarah jabatan itu, Dzulkarnain Ahmad sebaliknya berkata isu permasalahan Veteran ATM bukanlah isu baru dan telah dibangkitkan semenjak pentadbiran kerajaan terdahulu.
"Kerajaan sememangnya prihatin akan kebajikan veteran ATM dan melalui JHEV ATM masih meneruskan segala kemudahan dan bantuan sedia ada di antaranya Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Bencana Alam di samping bantuan-bantuan yang lain.
"Dakwaan Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM) bahawa Kementerian Pertahanan tidak mempunyai rancangan untuk veteran adalah tidak berasas.
"Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang julung kali diadakan pada 24 Dis 2018, dan yang akan datang pada bulan Februari 2019 adalah platform untuk membincangkan permasalahan, rancangan masa hadapan dan idea-idea baru untuk kebaikan Veteran ATM," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dzulkarnain turut menyeru agar veteran tentera yang masih mempunyai permasalahan atau perkara yang ingin disuarakan menyampaikannya melalui saluran yang betul.
"Di dalam membantu dan memberi perkhidmatan kepada Veteran ATM, JHEV ATM melalui cawangan di seluruh negara bertanggungjawab untuk memantau dan memberi bantuan sewajarnya kepada Veteran ATM dengan sokongan dan bantuan persatuan veteran yang berdaftar di bawah Akta Veteran 2012.
"Sebarang permasalahan perlu disampaikan kepada JHEV ATM sama ada melalui Cawangan JHEV negeri ataupun persatuan veteran yang sah," katanya.
Kementerian Pertahanan menyeru semua veteran ATM untuk berdaftar dengan persatuan yang sah bagi memudahkan sebarang urusan mahupun penyampaian bantuan dan maklumat.
Dengan sistem dan mekanisme sedia ada, JHEV ATM akan terus berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Veteran ATM. Kementerian Pertahanan, melalui JHEV ATM sentiasa prihatin dan menitikberatkan kebajikan Veteran ATM, dan akan terus komited untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi para veteran.
Pengerusi MVK Azizan Salleh semalam berkata pihaknya sedang merancang untuk mengadakan himpunan selepas surat yang diserahkan kepada menteri pertahanan, menurutnya, tidak dipedulikan.
Azizan juga mendakwa Kementerian Pertahanan belum mempunyai inisiatif untuk meningkatkan kebajikan veteran tentera.
Mengulas lanjut, Dzulkarnain berkata, Kementerian Pertahanan menyeru semua Veteran ATM untuk berdaftar dengan persatuan yang sah bagi memudahkan sebarang urusan mahupun penyampaian bantuan dan maklumat.
"Dengan sistem dan mekanisme sedia ada, JHEV ATM akan terus berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Veteran ATM.
"Kementerian Pertahanan, melalui JHEV ATM sentiasa prihatin dan menitikberatkan kebajikan Veteran ATM, dan akan terus komited untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi para veteran," katanya.
Awal bulan ini, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu turut menafikan dakwaan bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein yang menuduh kementerian itu mengabaikan kebajikan veteran tentera sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan.

