Gulai lemak nangka dan opor daging menjadi menu istimewa dihidang kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencemar duli melawat rumah baru mangsa kebakaran di Perkampungan Sungai Isap 2 hari ini.

Mangsa yang juga peniaga warung, Wan Noorazlina Wan Hamid, 56, berkata, menu itu telah 'dijanjikan' kepada baginda semasa Sultan Abdullah berangkat melawat keadaan mereka sekeluarga, dua hari selepas tragedi berkenaan berlaku awal tahun lalu.

Peniaga warung berkenaan, Wan Noorazlina Wan Hamid, 56, berkata, ketika berangkat baginda terpandang pokok nangka di rumah mereka sebelum dia sendiri bertanya kepada baginda sama ada mahu makan masak lemak nangka.

"Baginda bergurau tanya saya pandai masak ke? Saya jawab saya pandai. Jadi dengan kesudian baginda melawat keadaan kami, saya tunaikan janji memasak nangka seperti yang dikata.

"Saya dan suami, Baharuddin Sulaiman, 59, serta seluruh anggota keluarga sangat terharu dengan kesudian tuanku mencemar duli hari ini serta makan di rumah kami. Tuanku memang benar-benar seorang raja yang berjiwa rakyat," katanya ketika ditemui Bernama di Kuantam.

Menceritakan kembali detik kejadian kebakaran yang berlaku pada 16 Januari tahun lalu, Wan Noorazlina berkata kebakaran bermula dari rumah jirannya.

"Tiada orang ketika kejadian kerana saya dan suami berniaga di warung tidak jauh dari rumah. Tiga orang anak berusia 20 hingga 32 tahun juga tidak tinggal bersama kami.

"Walaupun kehilangan rumah dan harta benda, kami bersyukur kerana tiada nyawa yang terlibat dalam kebakaran itu. Semua jiran dari dua buah rumah yang turut terbakar juga selamat," katanya yang kini tinggal di rumah baru yang siap sejak Disember lalu.

Al-Sultan Abdullah meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu semua mangsa terlibat dan memenuhi undangan makan tengahari.

Sebelum itu, baginda menunaikan solat Zohor di Surau Al-Falah Perkampungan Sungai Isap 2.

- Bernama