Tujuh lelaki yang sedang leka menghisap dadah dalam sebuah rumah yang dijadikan ‘sarang’ mereka berjaya ditahan polis dalam serbuan di rumah berkenaan di Jalan Bukit Kecil Juru, Bukit Tengah di Bukit Mertajam malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, sepasukan polis menyerbu rumah itu kira-kira pukul 10.30 malam tadi dan menahan tujuh lelaki berusia 19 hingga 27 tahun.

"Semasa serbuan itu mereka sedang menghisap dadah dan langsung tidak melarikan diri kerana masing-masing berada dalam keadaan khayal berikutan berada di bawah pengaruh bahan terlarang tersebut," katanya di Bukit Mertajam hari ini.

Menurutnya, semasa pemeriksaan dalam rumah itu, polis menemui dua paket kecil dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira RM1,000 dan peralatan yang telah diubah suai untuk menghisap dadah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka menjadikan rumah sewa milik seorang daripada yang ditahan itu sebagai sarang menghisap dadah sejak tahun lepas.

Ujian air kencing mendapati tujuh lelaki itu positif dadah dan lima daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, katanya.

Serbuan di reban ayam 

Dalam kes berasingan, Nik Ros Azhan berkata polis menahan dua lelaki yang menjadikan sebuah reban ayam di Taman Remia, di Bukit Mertajam sebagai tempat menghisap dadah dalam serbuan pukul 7.30 petang semalam.

"Polis menerima maklumat daripada penduduk di taman itu memaklumkan dua lelaki berusia 30 tahun berkenaan menjadikan reban ayam tersebut sebagai sarang mereka menghisap dadah sebelum menyerbu tempat berkenaan," katanya.

Beliau berkata semasa serbuan itu, seorang daripada mereka cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun tindakan pantas pihaknya berjaya menahan suspek berkenaan dan ujian air kencing dua lelaki berkenaan positif dadah.

"Semua lelaki yang ditahan dalam dua operasi itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan. Polis akan meneruskan operasi dari masa ke semasa dalam usaha membanteras penagih dadah di daerah SPT," katanya.

- Bernama