Seorang lelaki warga tempatan ditahan pihak polis selepas sejumlah dadah ditemui di dalam keretanya di Plaza Tol Sedenak dekat Kulai, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata, lelaki berusia 52 tahun yang membawa kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam itu ditahan pada pukul 1 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulai.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui satu paket plastik lutsinar yang berisi ketulan dan serbuk disyaki dadah jenis heroin seberat 28.52 gram dan satu paket plastik lutsinar berisi bahan hablur, disyaki syabu seberat 25.89 gram.

Kita juga menemui sekeping foil berwarna merah dan perak yang mengandungi dua biji pil disyaki dadah jenis eramin seberat 0.58 gram ,” katanya dalam satu kenyataan, di Johor Bahru, hari ini.

Tok berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek juga didapati mempunyai rekod lampau melibatkan dadah,”katanya.

Menurutnya, suspek bersama keseluruhan rampasan yang dianggarkan bernilai RM3,000 itu dibawa ke IPD Kulai untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Sesyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama