Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap anggotanya yang didapati melanggar larangan merokok di premis makanan seperti yang tular dalam media sosial, semalam.

Katanya, pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Jelas anggota itu beruniform dan jelas kerajaan sudah menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan.

"Tanda amaran dan larangan yang dipamer perlu dipatuhi semua pihak terutamanya mereka yang beruniform.

“Perbuatan ini amat tidak beretika dan kita tahu tidak boleh merokok di tempat sebegitu sekarang ini,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Beliau juga dilaporkan berkata, memandangkan larangan itu baru dikuat kuasa di kawasan di semenanjung, beliau akan melihat terlebih dahulu lokasi berlakunya kejadian berkenaan.

“Larangan ini dikuat kuasa di semenanjung, tetapi Sabah dan Sarawak belum. Jadi, gambar itu kena lihat adakah berlaku di semenanjung atau bukan.

"Saya sudah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk kenal pasti anggota dan akan buat tindakan sewajarnya,” katanya.

Semalam, video selama lapan saat itu memaparkan anggota polis memegang rokok ketika berada di premis makanan yang merupakan kawasan larangan merokok.

Dalam video itu jelas menunjukkan tanda larangan merokok di premis berkenaan.