Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gagal bayar denda merokok, wanita dipenjara sebulan
Diterbitkan:  Jan 27, 2019 7:10 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Gara-gara merokok di kawasan larangan dan gagal membayar denda, seorang wanita dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Majistret Izzudin Mohd Shukri mengenakan hukuman itu selepas Nor Faezah Hamzah, mengaku bersalah terhadap tuduhan merokok di tempat letak kereta di sebuah pasar raya, dua tahun lalu, lapor BH Online.

Sebelum ini wanita 34 tahun itu dikenakan hukuman denda RM1,000 atau penjara sebulan sekiranya gagal berbuat demikian dan ternyata tertuduh gagal membayar denda itu sekali gus perlu menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merokok di kawasan dilarang merokok iaitu di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di sini pada jam 9.15 malam, 17 Mac 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 11(1)(n) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan dihukum di bawah subperaturan 11(3) peraturan sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Sementara itu menurut fakta kes, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Saiful Azuny Che Ya dan Pembantu Kesihatan Awam Md Nasran Saffin dari Pejabat Kesihatan Kota Bharu ke pasar raya berkenaan untuk menguatkuasakan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Ketika rondaan dijalankan, tertuduh sedang menghisap rokok di tempat letak kereta pasar raya itu.

Saiful Azuny memaklumkan kesalahan yang dilakukan tertuduh dan mengambil puntung rokok untuk dianalisis di Jabatan Kimia Malaysia, cawangan Kelantan.

Pada 7 Jun 2017, Saiful Azuny menerima perakuan daripada Jabatan Kimia Malaysia yang mengesahkan puntung rokok itu mengandungi tembakau.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara minimum bermula dari tarikh ditangkap.

"Saya juga perlu menyara seorang anak berusia 16 tahun, oleh itu saya memohon hukuman ringan," katanya.

Sebaliknya Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Kelantan, Mohd Nor Hussin memohon hukuman setimpal bagimemberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

Lihat Komen
ADS