Bekas naib presiden DAP Zulkifli Mohd Noor meninggal dunia awal pagi ini selepas mengalami serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Sungai Petani.

Zulkifli, 71, meninggalkan seorang balu, tiga anak dan lima cucu.

Pada Februari 2018, Allahyarham meinggalkan DAP selepas pemilihan parti 2015 untuk menubuhkan Parti Alternatif Rakyat (People's Alternative Party, PAP).

Bekas naib presiden PAP Rahmad Isahak mengesahkan kematian Zulkifli.

"Saya terima panggilan pada pukul empat pagi tadi berhubung pemergian Zulkifli. Saya sedih dengan berita ini," katanya kepada Malaysiakini.

"Walaupun program politik kami tidak lagi kerap, kami tetap berhubung melalui telefon. Beliau memang tidak sihat ketika kali terakhir saya bertemunya beberapa miggu lalu," katanya.

Beliau berkata Zulkifli berpesan kepadanya agar jangan putus asa dalam politik, sentiasa cekal dan bersuara ketika perlu tetapi tidak bermusuh dengan sesiapa.

Jenazah Zulkifli dibawa dari Hospital Sungai Petani ke rumahnya di Jalan Gertak Sanggul di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Jenazah akan dikebumikan di Masjid Sg Nibong Besar selepas sembahyang Asar, hari ini.

Seorang pemimpin yang lantang dan ramah, Allahyarham memutuskan untuk keluar DAP selepas 26 tahun bergiat dalam parti itu, atas sebab perbezaan pendirian dengan kepimpinan di Pulau Pinang.

Zulkifli, Rahmad dan lapan lagi meninggalkan PAP pada Februari tahun lalu selepas bercanggah dengan anggota jawatankuasa eksekutif pusat baru parti itu.