Pulau Pinang mengumumkan beberapa langkah untuk mengatasi masalah rumah tak terjual di negeri itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa Jagdeep Singh Deo berkata, antara langkah itu adalah membenarkan mereka yang tidak tinggal di negeri itu membeli antara 20 hingga 40 peratus unit rumah yang ada di pasaran.

"Ekoran masalah kelayakan dan kadar penolakan pinjaman bank yang tinggi, kami mendapati masalahnya bukan bekalan, tetapi akses unit kepada pembeli.

"Maka kami mengubah sedikit pasaran, untuk merangsang sektor agar rumah-rumah ini lebih mudah diakses pembeli," katanya dalam sidang media hari ini.

Jagdeep bagaimanapun berkata masalah rumah tidak terjual di negeri itu dalam keadaan "terkawal".

Katanya, antara negeri maju di Malaysia, kadar rumah tak terjual di negeri itu paling kurang meningkat - daripada 2,000 kepada 3,000 unit - sejak 2017.

Katanya lagi, kadar di Johor meningkat lebih tinggi dengan 9,000 rumah tak terjual untuk tempoh sama.

Berkenaan isu kadar penolakan hutang bank yang tinggi oleh bank, Jagdeep berkata isu itu sedang ditangani oleh kementerian kewangan.

Beliau menyebut pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa hartanah bawah RM1 juta akan dikecualikan duti setem untuk enam bulan pertama tahun ini.

Untuk membantu pembeli, Jagdeep berkata kerajaan negeri akan meluaskan syarat pendapatan isi rumah.

"Di Pulau Pinang, antara punca utama bank menolak permohonan pinjaman adalah pendapatan isi rumah yang tidak cukup. Pemohon ini dianggap sebagai pembeli berisiko," katanya.

Syarat had isi rumah untuk membeli rumah mampu milik adalah RM6,000 sebulan untuk rumah berharga RM150,000, RM8,000 untuk unit RM200,000, dan RM10,000 untuk unit RM300,000.

Had itu telah ditingkatkan, iaitu RM8,000 untuk unit RM150,000, RM10,000 untuk unit RM200,000 dan RM12,000 untuk unit RM300,000.

"Anda tidak boleh jadi jutawan dengan beli rumah mampu milik. Jika anda terlalu kaya, anda boleh beli unit lain (dengan harga melebihi RM300,000). Ini logik mudah."

[Baca berita asal]