Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin mempersoalkan logika Najib Razak yang mendakwa kemenangan BN di Cameron Highlands baru-baru ini sebagai kemenangan rakyat.

Kata Hanipa, kenyataan bekas perdana menteri yang sangat aktif di media sosial itu menarik perhatiannya.

Menurut pemimpin Amanah itu, penegasan dibuat Najib bahawa kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands pada 26 Jan lalu adalah kejayaan rakyat boleh dipersoalkan.

"Nak tanya sikit. Kalau itu kemenangan rakyat, bagaimana pula dengan kemenangan besar dan bersejarah PH pada PRU ke-14 dulu?

"Bagaimana juga dengan kemenangan PH dalam beberapa PRK sebelum Cameron Highlands itu?" katanya dalam satu hantaran santai di media sosial.

BN mencapai kemenangan pertamanya dalam PRK selepas PRU ke-14 pada Sabtu lalu apabila calon mereka, Ramli Mohd Nor, mengatasi calon PH, M Manogaran.


Baca Najib: Ini kemenangan rakyat


Untuk rekod sejak PRU ke-14 berakhir sudah ada empat PRK dijalankan iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor, serta kerusi parlimen Port Dickson di Negeri Sembilan.

Keempat-empat kerusi itu berjaya dipertahankan oleh PH.

Selepas ini ada sekurang-kurangnya dua lagi PRK akan berlangsung iaitu DUN Semenyih (pada 2 Mac) dan Rantau di Negeri Sembilan yang belum ditetapkan tarikhnya.

Mengulas kemenangan Ramli, Najib yang juga bekas menteri besar Pahang menciap di Twitter menegaskan bahawa kejayaan itu adalah kemenangan rakyat.