Kemalangan di jambatan P Pinang: Polis hantar kertas siasatan
Kertas siasatan berhubung kemalangan yang menyebabkan kematian pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV), Moey Yun Peng, 20, yang meninggal dunia selepas kenderaannya itu, terhumban ke dalam laut minggu lepas telah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwaraya, hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang T Narenasagaran berkata pihaknya kini sedang menunggu arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwaraya bagi tindakan selanjutnya dalam menangani kes ini yang turut melibatkan seorang pemandu kereta jenis Toyota Vios.
"Bagi pihak polis, kami telah melengkapkan kertas siasatan kemalangan itu, namun laporan kimia berhubung tahap kandungan dadah dan alkohol pada pemandu Toyota Vios berusia 21 tahun, masih belum diperolehi.
"Ini akan dimasukkan ke dalam kertas siasatan berkenaan selepas ianya diperolehi," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Minum Petang Bersama Agensi-agensi Yang Terlibat Dalam Operasi Mencari dan Menyelamat kereta terhumban itu, di Pulau Pinang hari ini.
Katanya polis turut mengambil darah Moey dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian kandungan dadah serta alkohol.
"Memang menjadi prosedur operasi standard polis untuk mengambil ujian darah mangsa bagi kami melengkapkan siasatan kes berkenaan. Cuma saya tak dapat pastikan bila keputusan (darah) mangsa dan pemandu Toyota Vios itu akan diserahkan kepada kami," katanya.
Dalam kejadian 2.54 pagi 20 Jan lepas, SUV dipandu Moey, seorang penuntut kolej swasta, terhumban ke laut selepas keretanya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.
SUV itu hanya dapat ditarik keluar dari laut menggunakan sebuah kren dua hari selepas kemalangan itu dan mayat mangsa ditemukan masih terperangkap di dalamnya.
- Bernama

