Kertas Putih Pertahanan turut tumpu propaganda mengancam keselamatan
Propaganda keganasan, elemen mengganggu gugat keamanan dan ancaman masa depan antara perkara yang akan dimasukkan ke Kertas Putih Pertahanan untuk maklumat orang ramai, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Beliau berkata kertas putih itu bersifat lebih meluas dan rakyat akan mengetahui dasar pertahanan negara untuk tempoh jangka pendek dan panjang.
“Penyediaan kertas putih ini kami rangka untuk 10 tahun akan datang dan dalam masa itu boleh dikaji setiap masa.
“Rakyat juga ingin tahu pasal pertahanan negara dan tanggungjawab mereka berkaitan pertahanan negara.
"Inilah polisi kertas putih seperti yang telah dilakukan negara lain,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Peringkat Tinggi Kertas Putih Pertahanan di Wisma Perwira di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan Ketua Setiausaha Negara Dr Ismail Bakar.
Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata Kertas Putih Pertahanan yang akan dibentang di parlimen Julai ini ialah dokumen yang bukan lagi diklasifikasi sebagai sulit dan boleh ditatap oleh semua rakyat Malaysia.
Pendedahan itu akan memberikan maklumat yang berkaitan kepada orang ramai, menjadikan kementerian itu lebih bertanggunjawab dalam setiap tindak-tanduknya.
Ditanya mengenai peranan empat kementerian lain - iaitu Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Kementerian Komunikasi Dan Multimedia dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi - Mohamad berkata setiap kementerian akan memainkan peranan mengikut portfolio masing-masing.
Jelas Mohamad lagi, bagi kementeriannya sendiri, sebarang bentuk keganasan dan yang masih aktif akan dilihat dengan lebih terperinci melalui kertas putih itu, termasuk isu serantau dengan rakan Asean kerana ia bersifat merentasi sempadan.
Ditanya jika kesilapan kerajaan lalu akan dimasukkan ke kertas putih itu, beliau berkata: “Kami ada jawatankuasa, kalau ada penyelewengan, sudah dikemukakan dalam laporan untuk dijadikan panduan agar kesilapan itu tidak berulang.
“Ia satu langkah untuk bergerak ke hadapan, kami tidak mahu terus menyalahkan dan tidak bergerak ke hadapan. Ia bergantung kepada polisi dan sekuriti,” katanya.
- Bernama

