TI-M: Kaji semula GLC, projek kongsi awam-swasta
Putrajaya digesa mengkaji semula projek perkongsian awam-swasta (PPP) dan kewujudan GLC untuk membendung rasuah.
Bercakap pada persidangan di Kuala Lumpur hari ini, Presiden Transparency International Malaysia Akhbar Satar menegaskan tidak munasabah untuk kerajaan membiayai projek PPP dan menanggung kerugiannya jika gagal.
"Modal untuk projek PPP diberikan oleh kerajaan. Bermaksud kerajaan memberikan kontrak (projek) kepada syarikat dan kerajaan membiayai projek itu," katanya.
"Apa yang berlaku apabila projek itu rugi? Kementerian Kewangan perlu bayar. Saya fikir kerajaan perlu mengkaji semula sistem PPP.
"Macam mana ini? Modal diberikan oleh kerajaan tapi Kementerian Kewangan menanggung kerugian? Sekurang-kurangnya kita harus berkongsi modal (dengan syarikat swasta)," katanya.
K'jaan perlu swastakan GLC
Akhbar juga mencadangkan supaya Putrajaya meningkatkan integriti dengan menghentikan politik wang dan membuat pengumuman belanjawan tahunannya menjadi lebih tepat dengan mengambil kira kos projek mega.
Presiden TI-M juga bertegas kerajaan perlu melihat semula tujuan kewujudan GLC dan syarikat milik negara lain. Ini kerana dakwanya, syarikat-syarikat tersebut mudah terdedah terhadap rasuah.
Akhbar berkata kerajaan perlu meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu.
Bagaimanapun, ketika diminta menjelaskan kenyataannya supaya GLC ditutup, beliau berkata ia bermaksud syarikat berkenaan perlu diswastakan sepenuhnya supaya kerajaan dapat menumpukan perhatian terhadap peranannya sebagai pengawal-selia.
Sementara itu, Akhbar turut berkata GLC dan syarikat milik negara menjadi masalah besar dalam memerangi rasuah. Beliau juga menyarakan kerajaan untuk mempertimbangkan semula kewujudan GLC kerana ia sarat dengan dakwaan rasuah dan mengalami kerugian.

