Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Azizah: Kaji semula penggunaan Poca individu bawah umur

Penggunaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) untuk menahan individu di bawah 18 tahun tanpa perbicaraan perlu dikaji semula, kata Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Wan Azizah berkata demikian selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pertubuhan hak asasi Suaram menggesa agar akta itu tidak digunakan terhadap kanak-kanak dan individu di bawah umur.

Diminta mengulas lanjut, Wan Azizah yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Wan Azizah juga berkata bahawa pesalah juvana perlu diberi peluang untuk pemulihan.

"Mungkin kita perlu melihat perkara ini sekali lagi agar mereka (individu di bawah umur) tidak diletakkan dalam persekitaran sama dengan orang (dewasa) lain yang sabit kesalahan.

"Saya dan menteri (dalam negeri) akan membincangkan perkara ini. Memang ada sebab keselamatan (untuk Poca).

"[...] Tapi saya fikir (bagi) kanak-kanak di bawah 18 tahun, kita perlu lihat dan kaji perkara ini secara mendalam kerana saya fikir kanak-kanak perlu diberi peluang untuk pemulihan," katanya kepada media selepas mengedarkan limau mandarin di pasar pagi di kawasannya di Pandan, Selangor.

Suhakam dan Suaram sebelum ini menggesa agar kerajaan membebaskan dan memberi pampasan kepada 142 individu bawah umur yang ditahan di bawah Poca, dengan memetik jumlah yang diperoleh daripada jawapan parlimen.

Beberapa yang ditahan adalah atas kesalahan mencuri dan menaiki kenderaan yang mempunyai barangan curi, kata badan hak asasi berkenaan.

Wan Azizah dalam kenyataannya hari ini menjelaskan bahawa setakat 30 Jan tahun ini, hanya seorang daripada individu di bawah 18 tahun ditahan di bawah Poca yang dipisahkan daripada lokap orang dewasa dan diletakkan di pusat pemulihan khas di Kluang, Johor.

"Dia terlibat dalam jenayah berat - rompakan bersenjata," katanya.

Sementara 27 pesalah juvana lain kini di bawah pantauan Poca.

Sejumlah 142 pesalah juvana ditahan polis dari 2015 hingga 2017, katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan membebaskan tahanan Poca, Wan Azizah berkata, beliau menyerahkan keputusan itu kepada Kementerian Dalam Negeri dan polis.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS