MP terkejut tribunal tak siasat bekas pengerusi SPR
Seorang anggota parlimen menuntut bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Hashim Abdullah dilibatkan sekali dalam tribunal menyiasat dakwaan salah laku bekas pesuruhjayanya.
Anggota parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata beliau terkejut apabila nama Hashim tidak disebut bersama.
“Sudah tentu sebagai bekas pengerusi SPR, beliau memikul tanggungjawab besar dan patut duduk di barisan pertama siasatan,” kata Khoo.
Beliau menggesa Peguam Negara Thommy Thomas menyenaraikan Hashim bersama bekas-bekas pesuruhjaya SPR yang disiasat.
Thommy dalam kenyataan 24 Januari lalu berkata satu tribunal telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan salah laku yang dilakukan oleh enam anggota SPR berhubung peranan mereka menjelang dan semasa pilihan raya umum ke-14.
Kesemua mereka telah meletakkan jawatan.

