'Pendirian kabur isu ECRL jejaskan Malaysia, Dr M perlu ambil pendirian'
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempunyai tanggungjawab kepada rakyat Malaysia untuk membuat keputusan muktamad berhubung status projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), kata pengulas politik berpusat di Beijing.
Dalam artikel yang disiarkan Channel News Asia hari ini, Tom McGregor menyatakan bahawa ketidakpastian berhubung projek itu menjejaskan kredibiliti Malaysia.
"Sama ada dia (Mahathir) menyokong ECRL atau tidak, dan membawa kerajaannya untuk melaksanakan keputusan yang dibuat.
"Untuk membiarkan CCCC (China Communications Construction Co Ltd) terus tertanya-tanya melanggar nilai diplomatik dan membunuh keyakinan perniagaan lain yang mungkin untuk Malaysia," katanya.
McGregor berkata, sekiranya Malaysia ingin kekal sebagai masyarakat antarabangsa yang dihormati, kerajaan perlu menunaikan tanggungjawab kontrak atau membayar pampasan yang perlu jika ingin membatalkan perjanjian projek itu.
"Apabila kerajaan bertukar, pertimbangan politik boleh menyebabkan perjanjian lama dibatalkan.
"Tapi kepimpinan adalah tentang membuat keputusan sukar dan mempertahankannya. Semua pihak yang terlibat tidak seharusnya diberi kenyataan yang bercanggah secara berterusan, tanpa ada penyelesaian.
"China mungkin tidak akan mendapat projek ini atau pampasan, tapi Malaysia adalah negara yang paling rugi, kerana negara itu memberi gambaran tidak akan menepati janji yang sudah ditandatangani sebelum ini," tambahnya.
Untuk rekod, Mahathir sentiasa menyatakan bahawa kerajaan tidak membantah ECRL namun kosnya terlalu tinggi.
McGregor turut menyorot bahawa Mahathir pada Ogos 2018 berkata projek berkenaan akan dibatalkan "buat masa ini" dan kenyataan terbaru minggu lalu bahawa projek bernilai RM81 bilion itu akan menambahkan beban hutang Malaysia.
Kata McGregor, kenyataan perdana menteri itu seperti memberi gambaran bahawa projek berkenaan dibatalkan, sedangkan pegawai Malaysia memberi gambaran sebaliknya.
"Jadi apa keputusan sebenarnya? Adakah Putrajaya masih tidak puas hari dengan projek itu seperti ketika mula-mula Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan?
"Adakah kerajaan Malaysia membatalkan perjanjian itu secara rasmi, atau itu cuma cara untuk mendapatkan perjanjian yang lebih baik dan merundingkan semula syarat ECRL?
"Pendekatan yang tidak jelas seperti itu tidak baik untuk hubungan Malaysia dan negara lain.
"Tidak dapat diragui, kerajaan PH mendapat mandat daripada rakyat Malaysia untuk menangani rasuah dan memulihkan kewangan Malaysia, namun pendekatan yang tidak jelas ini akan menjejaskan kredibiliti Malaysia dan hasrat negara lain untuk bekerjasama dengan negara itu," katanya.

