Kontraktor terlibat tanah runtuh Bukit Kukus disenarai hitam
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengesahkan kontraktor yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Bukit Kukus pada 17 Oktober lalu tidak akan lagi mendapat sebarang projek.
"Majlis Exco Negeri telah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) agar kontraktor tidak diberikan sebarang kontrak baru.
"Bagaimanapun mereka akan menyiapkan projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus kerana itu sudah menjadi tanggungjawab mereka," katanya dalam sidang media hari ini.
Chow menjawab soalan sama ada kontraktor tersebut akan disenarai hitam susulan tragedi tanah runtuh yang meragut sembilan nyawa itu.
Sebelum ini, satu jawatankuasa khas diketuai Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, ditubuhkan bagi menyiasat punca tanah runtuh.
Kontraktor itu didakwa gagal mematuhi garis panduan pembangunan di cerun bukit.
Chow berkata keputusan siasatan akan didedahkan selepas cuti Tahun Baru Cina.
"Kami juga menerima maklumat bahawa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) the menyelesaikan siasatan dalam perkara ini," katanya.
Semalam, MBPP mengumumkan Dosh telah menamatkan arahan henti kerja untuk projek itu.
Datuk Bandar MBPP Yew Tung Seang bagaimanapun berkata kerja pembinaan tidak disambung serta-merta.
Chow pula berkata beliau menganggap Dosh berpuas hati dengan pelan mitigasi oleh kontraktor.
Susulan pengumuman itu, dua NGO iaitu Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta kerajaan negeri mendedahkan keputusan siasatan kepada umum.
Projek bernilai RM530 juta itu merupakan pembinaan 5 kilometer jalan pintasan sepanjang Bukit Kukus, menghubungkan Bandar Baru Air Hitam dan Relau.
Projek usaha sama MBPP dan dua kontraktor swasta itu sudah siap 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

