Menteri Pendidikan Mazlee Malik berkata kementeriannya sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan penambahbaikan daripada mana-mana pihak.

Menurut Maszlee, langkah itu boleh dibuat melalui pelbagai kaedah, termasuk perbincangan terbuka atau memorandum.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) percaya hanya melalui keterbukaan, pelbagai isu dan masalah boleh diselesaikan secara bersama," katanya kepada Malaysiakini.

Maszlee berkata demikian sebagai mengulas penyerahan memorandum mengenai masalah pengawal keselamatan kontrak di sekolah kerajaan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan semalam.

Ia menjadi perhatian sesetengah pihak apabila Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendakwa himpunan tersebut cuba dihalang oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Namun, Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempersoalkan tindakan KDN yang didakwa memberi amaran kepada syarikat pengawal keselamatan agar melarang pekerja mereka menyertai perhimpunan tersebut.

KDN didakwa mengeluarkan pekeliling bertarikh 30 Januari dan ditujukan kepada Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) Mustapa Ali.

Melalui pekeliling itu KDN mengarahkan syarikat kawalan keselamatan untuk tidak membenarkan pengawal mereka mengikuti perhimpunan berkenaan.

Pekeliling itu juga menyatakan syarikat yang membekal pengawal keselamatan kepada kerajaan bertanggungjawab memastikan pekerja berkelakuan baik, bertatatertib, mematuhi peraturan dan tidak melakukan perbuatan buruk, salah laku atau menyalahi undang-undang semasa dalam kontrak perkhidmatan.

Menurut anggota Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan, pekeliling itu menjejaskan kehadiran perhimpunan dan bertentangan dengan pendirian kerajaan berhubung perhimpunan aman.